BARISAN pemain Sepanyol meraikan gol keempat mereka. FOTO AFP
BARISAN pemain Sepanyol meraikan gol keempat mereka. FOTO AFP
Reuters

Cologne: Kekalahan 1-4 kepada Sepanyol menamatkan penyertaan sulung Georgia di pusingan kedua dan penjaga gol, Giorgi Mamardashvili menjangkakan Sepanyol akan menjuarai Euro 2024 selepas prestasi cemerlang awal pagi tadi.

Sepanyol ketinggalan kerana jaringan sendiri pada minit ke-18 tetapi mereka kekal tenang dan berjaya melangkah ke suku akhir hasil jaringan Rodri, Fabian Ruiz, Nico Williams dan Dani Olmo.

"Saya rasa Sepanyol adalah pasukan pilihan untuk kejohanan ini dan mereka akan menjadi juara. Sayang sekali kami bertemu pasukan ini, tetapi tidak mengapa, ia bukan penamat. Kami akan kembali lebih kuat," kata Mamardashvili kepada pemberita.

"Sudah tentu, ia menyedihkan kami tewas dalam pusingan 16 terakhir, tetapi kami juga harus berasa gembira kerana tidak pernah membayangkan akan meraih pencapaian sejauh ini," tambahnya.

Perjalanan pasukan Georgia menjadi salah satu cerita yang menarik dalam kejohanan itu dengan mereka menewaskan Portugal 2-0 dalam aksi terakhir Kumpulan F untuk mara ke peringkat kalah mati.

Kapten Georgia, Guram Kashia berkata, pasukannya kecewa apabila tersingkir dan kecederaan yang dialami penyerang, Otar Kiteishvili menjadi antara faktor kekalahan itu.

"Kami bermain dengan baik pada separuh masa pertama (menentang Sepanyol). Pada babak kedua, selepas kami kehilangan Kiteishvili, permainan berubah.

"Akhirnya, kami bolos dan mengucapkan selamat tinggal kepada kejohanan, namun kami gembira kerana mewakili negara dengan bermaruah," kata Kashia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 11:05 PM