RAZEEQ tewas di tangan Wang Zi Jun. FOTO BAM
RAZEEQ tewas di tangan Wang Zi Jun. FOTO BAM
Helmi Talkah

Kuala Lumpur: Malaysia terpaksa akur apabila tewas 1-3 di tangan China pada aksi separuh akhir berpasukan campuran Kejohanan Badminton Remaja Asia (BAJC) di Yogyakarta, Indonesia, hari ini sekali gus berpuas hati dengan pingat gangsa.

Pada aksi di Dewan GOR Among Raga itu, skuad negara bermula dengan langkah kanan apabila meraih mata pertama menerusi kemenangan beregu lelaki nombor satu dunia, Kang Khai Xing-Aaron Tai menewaskan Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi 26-24, 25-23.

Bagaimanapun, China kembali menyamakan kedudukan apabila perseorangan wanita mereka, Xu Wen Jing menewaskan Ong Xin Yee 21-15, 21-13.

Giliran China di depan apabila meraih mata kedua menerusi perseorangan lelaki mereka, Wang Zi Jun yang menundukkan Razeeq Rosli Danial 21-17, 21-9.

China kemudiannya melengkapkan kemenangan mereka selepas beregu wanita, Chen Fan Shu Tian-Liu Jia Yue menyumbang mata ketiga menerusi kejayaan menumpaskan pasangan negara, Carmen Ting-Nicole Chau 21-12, 21-9.

Di sebalik kekalahan itu, Malaysia berjaya memperbaiki pencapaian edisi tahun lalu yang mana mereka tersingkir di suku akhir selepas tewas di tangan Thailand 0-3 juga di Yogyakarta.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat dalam acara berpasukan campuran adalah pada 2018 apabila mereka turut membawa pulang gangsa dalam kejohanan di Jakarta.

Pemain negara selepas ini akan mengalihkan fokus mereka kepada acara individu yang akan membuka tirai saingan, Rabu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 9:54 PM