WAFIY memegang watak sebagai Mal dalam drama siri SMK.
WAFIY memegang watak sebagai Mal dalam drama siri SMK.
Najiy Jefri


JENAMA siri popular, SMK kini kembali menemui penonton untuk musim ketiga di Astro Ceria saluran 611 bermula hari ini.

SMK yang pernah mengungguli kategori 'Best Quarantine-Themed Drama/Feature/Programme' di Anugerah ContentAsia 2020 tahun lalu akan membawa penonton menelusuri pengembaraan yang menyeronokkan menerusi pengalaman Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan cabaran yang perlu mereka lalui.

Melihatkan kepada situasi pandemik pada hari ini yang menyebabkan sekolah belum boleh dibuka susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pelajar SMK perlu mengadaptasi dengan norma baharu untuk sentiasa kekal di rumah selain perlu menyesuaikan diri berada jauh dari rakan-rakan sekelas.

Pada musim ketiga ini, kehadiran beberapa nama baharu memeriahkan lagi perjalanan siri ini. SMK menampilkan pendatang baharu, Fara Nadiah yang membawakan watak sebagai Zaitun Zubaidah dan Kiwi Chong sebagai Suzi Wong.

Pengurus saluran Astro Ceria, Cecilia Wong berkata, sebagai peneraju utama kandungan hiburan kanak-kanak di Malaysia, Astro Ceria sentiasa berusaha untuk menyajikan kandungan terbaik bagi santapan seisi keluarga.

"Kejayaan yang dicetuskan dari dua musim pertama SMK dan SMK Study Squad menjadikan kami begitu teruja untuk menerbitkan naskhah musim ketiga ini pula. Naskhah ini adalah tanda penghargaan kami kepada peminat yang selama ini menyokong setia siri ini dan menjadikan SMK rancangan akademik paling banyak ditonton di negara ini.

"Musim ketiga ini menjanjikan pengembaraan yang lebih menarik dan menghiburkan kerana kami menampilkan ramai nama baharu hadir menceriakan karya ini. Antaranya pelakon dan penyanyi kesayangan ramai, Nabila Razali, Emelda Rosmila, Zain Hamid dan pemain komedi, Nizam Jentik-Jentik," katanya.

Menurut Cecilia, melihat kepada keadaan pandemik yang mengehadkan pergerakan pelajar untuk ke sekolah, Astro Ceria yakin drama siri SMK bakal memberi keceriaan kepada penonton di rumah selain sarat dengan elemen komedi.

MIA Sara antara pelakon yang kekal dalam SMK musim ketiga.
MIA Sara antara pelakon yang kekal dalam SMK musim ketiga.

SMK bakal memberi keceriaan kepada penonton dengan elemen komedi.
SMK bakal memberi keceriaan kepada penonton dengan elemen komedi.

"Kami perlu peka dan mengambil berat akan situasi yang perlu dihadapi anak-anak dan ibu bapa khususnya dalam mengharungi cabaran melaksanakan PdPR di rumah masing-masing.

"Justeru, kami di bahagian produksi SMK mengangkat topik ini dan kehidupan norma baharu kita dalam naskhah musim ini dan kami zahirkan dalam suasana yang cukup santai dan sarat dengan elemen komedi.

"Harapan kami supaya kita semua kekal kuat menempuhi fasa ini. Semoga anda seisi keluarga terhibur dengan SMK musim ketiga ini," katanya.

Selain dari kehadiran pelakon baharu, SMK musim ketiga turut menampilkan Wafiy, Erissa Puteri, Mia Sara, Fikry, Rykarl, Aniq dan ramai lagi.

Siri yang bakal bersiaran sebanyak enam episod ini diarahkan oleh Shamyl Othman dan Redcomm selaku penerbit.

Wafiy yang melakonkan watak Mal berkata, dia teruja dengan kesinambungan drama bersiri SMK yang memberi cabaran baharu kepada dirinya.

"Memandangkan kami semua tidak boleh keluar menjalani penggambaran, tapi pihak produksi dan Astro Ceria sentiasa mencari kelainan demi menyediakan kandungan terbaik kepada penonton.

"Menerusi penggambaran SMK musim ketiga ini, semuanya saya lakukan sendiri di rumah. Sebelum memulakan penggambaran pihak produksi menghantar beberapa peralatan teknikal yang diperlukan supaya proses penggambaran berjalan lancar.

"Bayangkan semuanya saya lakukan sendiri di rumah dan tak sangka drama ini berjaya disiapkan menjadi sebuah naskhah yang cukup unik dan segar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 6:46 AM