LEGENDA Puteri Qaseh menampilkan gandingan wajah baharu dan pelakon berpengalaman.
LEGENDA Puteri Qaseh menampilkan gandingan wajah baharu dan pelakon berpengalaman.
Ramlah Zainal


SELEPAS kejayaan telefilem Legenda Puteri Bulan dan Legenda Puteri Felora, Astro Ceria kini membawakan siri pertama daripada francais legenda iaitu Legenda Puteri Qaseh.

Francais legenda dihasilkan untuk menjana kisah klasik fiksyen yang moden sejajar dengan perubahan waktu.

Selain itu, Legenda Puteri Qaseh turut melihat francais ini dikembangkan dalam bentuk drama rantaian untuk memenuhi kehendak penonton di pelbagai platform Astro terutama mereka yang gemarkan penstriman.

Malah, Astro Ceria akan memperkasakan genre penceritaan yang turut merangkumi genre superhero pada tahun ini demi memperkukuhkan posisi Astro Ceria sebagai destinasi saluran tempatan utama untuk kanak-kanak dan golongan muda di negara ini.

Menurut Pengurus Kandungan Kanak-Kanak Astro, Farah Fauzana Zainol Kamar, kisah fantasi begitu sinonim dengan golongan muda di mana minda usia sebegini begitu mudah menerima imaginasi yang tiada batasan.

Tatkala usia begini, kebanyakan mereka ingin melayari pengembaraan dunia yang berelemenkan magis dan fantasi. Bahkan, hiburan Hollywood tidak pernah berhenti dari menghasilkan kandungan seperti ini dengan interpretasi penceritaan berdasarkan pergerakan masa dan budaya popular dalam kalangan segmen penonton terbabit.

"Di Astro Ceria, kami mempunyai kapasiti dan kemampuan untuk menjana kandungan yang mengutamakan kandungan positif dalam membentuk generasi yang sentiasa mahukan kandungan yang lain daripada lain dan dipenuhi dengan elemen fantasi yang berimaginatif tinggi.

"Legenda Puteri Qaseh berpaksikan pemodenan kisah klasik fiksyen yang menerapkan elemen 'self-discovery' serta 'girl empowerment' dalam kalangan mereka pada usia muda dan menggalakkan mereka menguatkan jati diri.

"Jangan pernah henti bermimpi kerana mimpi itu boleh menjadi realiti. Kami berharap generasi muda terinspirasi dengan Legenda Puteri Qaseh yang sarat dengan penceritaan positif dalam dunia yang penuh imaginasi dan fantasi. Nescaya, Baik Hati Cerminan Diri," katanya.

Mengenai pemilihan pelakon pula, kata Farah, barisan pelakon Legenda Puteri Qaseh membabitkan penampilan wajah baharu dan pelakon berpengalaman.

QASRINA sebagai watak utama siri Legenda Puteri Qaseh.
QASRINA sebagai watak utama siri Legenda Puteri Qaseh.

"Pemilihan pelakon baharu Qasrina Karim sebagai watak utama siri ini kerana dia bintang baharu yang semakin bersinar dan memiliki pesona dan sesuai membawa watak Qaseh.

"Kami turut memperkenalkan wajah baharu, Daniel Fong (watak Laksamana Andika) dan Bella Dowanna sebagai Laila (rakan karib Puteri Qaseh).

"Tidak ketinggalan, pembabitan Datin Lisa Surihani (watak Permaisuri Kalsom) dan Datuk Yusry Abdul Halim (Raja Budi) yang membuat penampilan istimewa dalam siri ini. Pasti ramai yang tidak sabar untuk menonton pasangan suami isteri popular ini bersama di skrin.

"Barisan pelakon lain yang melengkapkan lagi siri ini alah Norman Hakim (Raja Sulong), Aziz M Osman, Chew Kin Wah dan Chelsia Ng," kata Farah pada majlis sidang media siri Legenda Puteri Qaseh.

Hadir sama, Penerbit Eksekutif, Red Communications, Shamyl Othman.

Sementara itu, Shamyl berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk bekerjasama dengan Astro Ceria menerbitkan siri Legenda Puteri Qaseh kerana ia bakal memperkasakan ramai gadis muda serta perlu ditonton seisi keluarga.

"Menerusi Legenda Puteri Qaseh, kami mahu menceritakan kisah seorang remaja perempuan yang mempunyai hati baik, namun aspirasinya diduga.

"Qaseh masih mampu mencari kekuatan dalam dirinya untuk menghadapi cabaran mendatang. Kisah ini turut menceritakan bagaimana dia mengetahui asal-usulnya yang berasal dari dunia fantasi KayaJaya," katanya.

Siri Legenda Puteri Qaseh membabitkan sembilan episod dan memaparkan kisah gadis bernama Qaseh yang berhati mulia dan mendapat tahu bahawa dirinya puteri dari kerajaan KayaJaya.

Dengan kemangkatan kedua-dua ibu bapanya, kini kerajaan terbabit diperintah bapa saudaranya, Raja Sulung. Qaseh dibawa kembali ke istana Kayajaya untuk menjalani kehidupan seorang puteri. Dalam menjalani kehidupan baharunya, Qaseh berhadapan pelbagai rintangan dan cabaran demi mengembalikan kebaikan ke kerajaan KayaJaya.

Manakala runut bunyi siri ini berjudul 'Takkan Mengalah' dinyanyikan oleh Nuha Bahrin dan Naufal Azrin.

Saksikan Legenda Puteri Qaseh bermula 9 Januari setiap Isnin jam 9 malam di Astro Ceria (Saluran 611).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2023 @ 6:40 AM