DIDI & Friends dapat sambutan ramai.
DIDI & Friends dapat sambutan ramai.
Syanty Octavia Amry


Buat julung kalinya, siri lagu kanak-kanak popular Didi & Friends memperkenalkan saluran lagunya yang pertama di Malaysia.

Menerusi kerjasama Astro First, sebanyak 20 lagu baru dihasilkan khas untuk peminat setia Didi & Friends dan sudah menemui penonton kelmarin.

Anak-anak dan ibu bapa juga berpeluang menyanyi dan menari kesemua lagu terbaru berkenaan secara eksklusif di saluran 480.

Menerusi langganan serendah RM15.90 (termasuk GST), pelanggan Astro boleh menyanyi bersama Didi dan rakan-rakannya tanpa henti, pada bila-bila masa saja selama lima hari berturut-turut.

Saluran istimewa ini turut membolehkan penonton di rumah menyanyikan semua 46 lagu Didi & Friends termasuk 20 lagu baru sama ada menggunakan pilihan vokal atau karaoke yang boleh dipilih menerusi pilihan audio di alat kawalan jauh Astro masing-masing.

Dengan tagline ‘Jom Nyanyi! Hora Horey!’, semua 20 lagu baru dalam Bahasa Malaysia ini adalah adaptasi lagu kanak-kanak dan rakyat popular daripada bahasa lain termasuk Tepuk Amai Amai, Jambatan Sedang Roboh (London Bridge), Keldai Comel (Lagu Mandarin, Xiao Mao Lu), Pak Beruang (lagu Tamil, Karadi Mama) dan Bermain Dalam Bulatan (lagu Indonesia - Bermain Dalam Lingkaran).

Penolong Kanan Naib Presiden Saluran Astro First & Astro Best, Sharmin Parameswaran berkata, pihaknya amat gembira apabila siri Didi & Friends yang disiarkan di saluran Astro Ceria sejak Disember lalu mencatat sejarah sebagai program kanak-kanak paling banyak ditonton di semua saluran Astro.

“Ibu bapa memberikan maklum balas positif apabila anak-anak mereka cukup terhibur dengan lagu nyanyian Didi dan rakan-rakannya. Rata-rata, mereka mahukan lebih lagi kandungan. Justeru, dari situlah tercetusnya idea untuk menghasilkan saluran karaoke ini,” katanya.

Selain itu, peminat Didi & Friends juga boleh merasai pengalaman saluran karaoke ini secara eksklusif di acara Fun Escapade 2016 bermula hari ini dan esok di pusat beli-belah Sunway Pyramid.

Selain gerai karaoke Didi & Friends, pengunjung juga boleh beramah mesra dengan maskot Didi & Friends di sana.

Sementara itu, Pengasas Digital Durian Sinan Ismail berkata, pihaknya amat gembira apabila siri Didi & Friends diterima baik semua lapisan masyarakat di negara ini.

“Peluang bekerjasama dengan Astro dalam menjadikan Didi & Friends ke dalam format karaoke menunjukkan bidang animasi di Malaysia kini sesuatu yang boleh dibanggakan.

“Elemen pendidikan menerusi penerapan nilai murni dalam lagu di samping pemantapan bahasa Malaysia dalam liriknya antara faktor yang berupaya membantu perkembangan minda anak-anak di rumah”.

“Kami mendengar permintaan penonton yang bertanyakan mengenai lagu-lagu baru dalam siri ini dan sebab itulah kami hasilkan 20 lagu baru istimewa untuk edisi karaoke ini dan menjadikan saluran karaoke ini sebagai saluran yang menyeronokkan buat anak-anak kita,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2016 @ 5:00 AM