Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza melahirkan kebimbangan mengenai keadaan lebih 100 kanak-kanak Palestin di Tadika Afwa Al Aafiyah yang dibinanya di Gaza berikutan kekejaman rejim Israel.

Menurutnya, tadika itu kini tidak dapat beroperasi dan semua kanak-kanak serta penjaga tadika sudah diarahkan berpindah ke selatan Gaza.

"Memandangkan krisis yang berlaku itu, memang sekolah tadika di Gaza tidak boleh beroperasi sebab dalam keadaan perang dan diarahkan berpindah ke selatan Gaza.

"Itu yang mereka lakukan sekarang dan Alhamdulillah, Allah melindungi mereka dan sudah selamat sampai di bahagian selatan Gaza.

"Saya harap bila keadaan kembali pulih, kita boleh (meneruskan operasi tadika seperti biasa)," katanya pada sidang media Program Bizjihad Lembaga Zakat Selangor, di sini, hari ini.

Menurutnya, kemusnahan yang berlaku di sana tidak mematahkan semangatnya untuk terus membantu anak-anak di Palestin menerusi Yayasan Nurjiwa.

"Apa pun keadaan sekarang ini, kemusnahan sudah berlaku tetapi tidak mematahkan semangat saya dan suami untuk meneruskannya.

"Sekiranya perlu dibuat di tempat baharu, kita akan usahakan. Bangunan itu, kalau ikut Dr Mohanad (rakan Siti di Gaza), (bangunan tadika) tidak dibedil, tidak dibom tetapi kita sedia maklum mereka sudah dikeluarkan dari situ.

"Saya berharap apabila krisis ini berakhir, mereka boleh pulang ke tempat masing-masing (terutama anak-anak serta penjaga tadika)," katanya.

DATUK Seri Siti Nurhaliza.
DATUK Seri Siti Nurhaliza.

Pada masa sama, katanya, Yayasan Nurjiwa sudah menghantar pakaian, selimut dan bahan makanan kepada semua kanak-kanak itu, baru-baru ini.

"Saya dan suami setiap hari menunggu 'update' daripada Dr Mohanad. Dia akan ke hospital setiap hari untuk dapatkan wifi sebab hendak pastikan kami di sini tidak risau.

"Selesai maklum perkembangan pada saya, dia akan kembali ke tempatnya. Setiap hari dia berulang-alik.

"Saya mesti tanya perkembangan keadaan anak-anak (di Gaza). Walaupun sedih dengan apa yang berlaku tapi kita doakan semoga Allah beri bantuan, perlindungan, keajaiban kepada mereka agar segalanya cepat berakhir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2023 @ 4:32 PM