SITI bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa serta Aafiyah pada Majlis Ukhuwah dan Apresiasi Yayasan Nurjiwa.
SITI bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa serta Aafiyah pada Majlis Ukhuwah dan Apresiasi Yayasan Nurjiwa.
Syafil Syazwan Jefri


DATUK Seri Siti Nurhaliza tidak hanya dikenali kerana bakat seninya yang luar biasa, tetapi juga kerana kesungguhannya dalam menyuarakan keprihatinan terhadap isu global terutama di Palestin.

Dia bukan saja menggunakan platform media sosial untuk berkongsi kisah kehidupan peribadinya, tetapi juga sebagai saluran untuk menyampaikan kesedaran dan maklumat mengenai situasi terkini di Palestin terutama di Gaza.

Melalui Instagram yang diikuti jutaan peminat, Siti terus menyuarakan keprihatinan dan menyeru untuk memberi perhatian kepada krisis kemanusiaan di sana ketika ini.

"Setiap hari saya baca berita mengenai apa yang berlaku di Palestin sebab saya dah ikuti beberapa akaun Instagram berkaitan dengan situasi di sana. Jadi, setiap hari saya nak tahu.

"Sekarang, bukan saja banyak Instagram yang kita boleh lihat keganasan dan penindasan yang berlaku kepada rakyat Gaza, tetapi ada juga akaun yang berkongsi cerita mengenai perjuangan serta kemenangan mereka yang tidak dihebahkan," katanya.

Menurut Siti, anaknya, Siti Aafiyah, 5, kini mula faham mengenai apa yang berlaku dan apa tindakan yang wajar dilakukannya.

"Aafiyah pun dah mula faham dengan situasi yang berlaku. Jadi, kadang-kadang bila dia nampak saya menitiskan air mata, dia dah tahu sebab apa.

"Kita kena bercerita mengenai perkara ini kepada anak dan kena beritahu kepada mereka kenapa perlu sentiasa berdoa serta membantu Gaza. Bahkan, Aafiyah juga sudah mula faham mengenai produk yang tidak sepatutnya dibeli.

"Kadang-kadang bila ternampak produk tertentu, dia akan beritahu saya 'ibu, ini produk Israel'. Dia pun tahu apa yang boleh dan tak boleh dibeli memandangkan dia dah mula faham.

"Dia pun dah mula menghafal qunut Nazilah memandangkan di sekolah memang diajar untuk membacanya," katanya.

Ditanya sama ada dia diserang di Instagram kerana bersuara mengenai sokongan terhadap Palestin, Siti berkata, dia tidak menerima sebarang serangan.

"Setakat ini, saya tidak pernah diserang oleh mana-mana individu lagi di Instagram. Bagi saya, ada cara yang kita boleh gunakan kalau nak Instagram kita selamat.

"Saya selitkan hantaran di Instagram dengan beberapa aktiviti harian, promosi produk dan sebagainya. Tak kisahlah kalau orang nak cakap rojak atau apa pun. Tapi, saya harap ini dapat memastikan Instagram saya tidak digam," katanya.

Terbaharu, Siti menerusi Yayasan Nurjiwa melancarkan Kempen Jihad Yayasan Nurjiwa sekali gus mengajak masyarakat supaya tidak berhenti menyalurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan di Palestin dan Malaysia.

"Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana perjalanan Yayasan Nurjiwa dari awal sehingga ke hari ini dapat bantu mereka yang memerlukan.

"Sebelum ini lagi, kerja kutipan dana untuk yayasan ini sudah dimulakan melalui sumbangan dan konsert saya. Terakhir adalah menerusi Konsert Satu Suara Volume 3 yang berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

"Dengan keadaan yang berlaku, rakyat Malaysia turut prihatin dan terkesan. Bantuan kepada Palestin sememangnya menjadi keutamaan kami pada masa sekarang. Namun, kita tidak menganaktirikan masyarakat Malaysia yang memerlukan.

"Sambil-sambil itu juga, kita masih lagi meneruskan bantuan makanan harian kepada pelajar B40 di Universiti Malaya dan golongan asnaf. Selain itu, ada juga beberapa program bantuan untuk tiga rumah yang dalam keadaan uzur," katanya.

Setakat ini, jumlah kutipan sudah mencecah lebih RM1 juta di samping 1,000 Tabung Sedekah Subuh Yayasan Nurjiwa sudah diedarkan untuk fasa pertama.

"Ada juga yang menyumbang dan menitipkan doa. Itu yang membuatkan saya rasa sangat terharu. Insya-Allah, dengan kemampuan yang ada, walaupun kami bukan satu organisasi besar, tapi kami cuba bantu.

"Alhamdulillah, setakat ini, jumlah kutipan sudah mencapai lebih RM1 juta dan mendekati RM2 juta. Sejak dilancarkan pada 11 Oktober lalu, kutipan dana sumbangan adalah lebih menjurus untuk disumbangkan kepada Palestin. Alhamdulillah, memang semua orang bermurah hati.

"Alhamdulillah, selepas pelancaran Kempen Jihad dan kempen Tabung Sedekah Subuh Yayasan Nurjiwa berlangsung, 1,000 tabung fasa pertama sudah diedarkan.

"Tabung Sedekah Subuh ini adalah antara misi Yayasan Nurjiwa untuk memberi galakan untuk kita semua bersedekah dan juga menyumbang kembali kepada mereka yang memerlukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2023 @ 6:00 AM