Ridzuan Abdul Rahman 


Muar: Ingin jumpa semua anak-anak untuk melepas rindu. Demikian kata-kata terakhir penyanyi kumpulan XPDC, Syed Ismail Syed Ibrahim kepada anak-anaknya. 

   Anak ketiganya, Syed Muhammad Israfil, 26, berkata, Allahyarham melahirkan hasrat ini beberapa hari menjelang Aidilfitri lalu dan mereka bersyukur dapat memenuhi impiannya. 

   "Kami lima beradik dapat berkumpul dan beraya bersama ayah. Sebelum ini kami masing-masing sibuk dengan urusan sendiri. 

   "Namun kami tidak melihat kelainan atau perubahan sikapnya kebelakangan ini," katanya ketika ditemui. 

   Afil berkata, ayahnya sememangnya mengalami semput dan dia diberitahu ayahnya sesak nafas semasa keluar membeli barang keperluan rumah pada waktu Maghrib. 

   "Kakak saya bawa ayah ke Hospital Muar dan selepas Isyak kami dikejutkan dengan berita ayah dah meninggal dunia. 

   "Ayah juga pernah beberapa kali dimasukkan ke hospital akibat penyakit ini. Namun ayah tidak pernah tunjuk kesakitan di depan anak-anak. 

   "Ayah memang dibekalkan ubat oleh hospital, tapi dia sebenarnya kuat cuti (skip) makan ubat," katanya. 

   Afil yang kerap bersama persembahan ayahnya dan sesekali menggantikan tempat Mael di atas pentas tidak berhasrat menggantikan posisi ayahnya selepas ini.

   "Saya lebih selesa bergerak di belakang tabir sebagai penyusun muzik dan sebagainya," katanya. 

   Terdahulu, berita kematian Mael, 55, mula tular apabila disahkan anak perempuannya, Sharifah Irfatasha.

   Surat daftar kematian yang dikeluarkan Hospital Muar menyebut penyanyi ini menghembuskan nafas terakhir dalam perjalanan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar pada jam 8.41 malam.

  Difahamkan punca kematian akibat sesak nafas. Allahyarham meninggalkan lima anak.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2023 @ 10:45 AM