Eddy badry
Eddy badry
Ridzuan Abdul Rahman

Muar: Pengasas kumpulan Tragedy yang kemudian ditukar nama menjadi XPDC, Eddy Badry meminta peminat agar mengenang jasa Allahyarham Mael yang pernah menghiburkan peminat selama 35 tahun pembabitannya dalam nyanyian.

   Menurutnya Mael sudah mewarnai kehidupan rakyat Malaysia dengan lagu-lagu yang pelbagai dan menarik. 

   "Saya rasa ramai yang gembira dengar nyanyiannya. Ada yang susah hati tapi jadi gembira bila dengar nyanyiannya. Ada lagu-lagunya yang orang tujukan ke sana sini. 

   "Kita harap pahala ini Allah SWT jadikan sebagai sandaran untuk memberatkan timbangan pahalanya di sana berbanding dosa. 

   "Kita semua pendosa tapi harapnya manfaatnya kepada masyarakat khususnya menerusi lagu-lagu menjadi timbangan berat untuk pahala mengatasi dosanya," katanya ditemui di Tanah Perkuburan Islam Bakri, Batu 6, di sini semalam.

   Eddy turut meminta agar peminat terus mendoakan kesejahteraan Mael yang selamat dikebumikan pada jam 10.55 pagi semalam. 

   "Doa keluarga dan peminat yang berterusan amat penting buatnya. Kalau mereka bersedekah di masjid, sebutlah sekali nama Mael.

   "Dia tak pernah minta duit kita. Dia tak pernah datang. Kita dengar lagu-lagunya beribu, berjuta kali. Dia hanya minta pada orang tertentu yang sepatutnya bayar haknya. 

   "Bukan dari peminat. Jadi kita sebagai peminatnya, kalau sedekah wang di masjid untuk sesiapa sama ada ibubapa kita, agihkan juga utk Mael bagi membalas jasanya dalam industri," katanya. 

   Eddy berkata, dia mula mengenali Mael ketika usianya 18 tahun. 

   "Waktu itu dia baru habis SPM dan berhijrah ke Pantai Dalam tinggal dengan kakaknya. 

   "Dia seorang yang sangat lembut sebenarnya tapi berlatar belakang rock," katanya. 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2023 @ 10:24 AM