ALLAHYARHAM Mael mempunyai aura sendiri ketika tampil menjayakan persembahan.
ALLAHYARHAM Mael mempunyai aura sendiri ketika tampil menjayakan persembahan.
Wan Asrudi Wan Hasan


BAGI sesetengah peminat irama rock keras, kumpulan XPDC bukan nama asing buat mereka. Malah, kumpulan yang mula ditubuhkan penulis lirik terkenal Allahyarham J S Kevin pada era 1990-an juga pernah mendapat jolokan 'Raja Funfair' dek kerana kerap mengadakan persembahan di tapak pesta.

Seperti band lain juga XPDC turut berdepan pasang suruh dalam dunia seni termasuk pertukaran anggota kumpulannya sekalipun sudah menghasilkan lebih tujuh album dengan ada antaranya mencatat jualan melebihi 350,000 unit.

Sebelum penubuhan XPDC kumpulan ini dikenali sebagai Tragedy sekitar 1985-1989 ketika itu Allahyarham Syed

Ismail Syed Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mael sebagai vokalis kumpulan disertai Izo (gitar), Man Tobey (gitar), Zuar (bass) dan Lee Space (dram).

Allahyarham J S Kevin atau nama sebenar Zul Adnan Mohd Razali berjaya memacu kemunculan XPDC dengan beberapa sentuhan lagu yang memberi impak dan diterima ramai peminat.

XPDC mengikat kontrak sebagai artis rakaman oleh Life Records seterusnya menghasilkan album pertama.

Album studio pertama XPDC, Darjah Satu melonjakkan nama mereka di persada muzik tanah air dengan lagu hitnya, C.I.N.T.A. ciptaan Allahyarham J S Kevin.

Namun, di kala mereka mula mendapat tempat dalam hati peminat, Lee Space (dram) meninggalkan kumpulan itu. Tempat Lee Space digantikan Amy bekas anggota kumpulan Handy Black yang turut terbabit dalam pembikinan album Darjah Satu sebagai pemuzik undangan.

Pengunduran Allahyarham Mael yang berasal dari Parit Tiram, Muar, Johor sebagai vokalis utama sekitar 1997 mengundang kontroversi yang paling hebat.

Kebanyakan peminat dan penggiat seni menjangkakan kumpulan XPDC ini akan berkubur. Lebih uniknya album Brutal yang dipasarkan pada 1997 (album terakhir Allahyarham Mael bersama XPDC) terjual melebihi 350,000 unit. Ia satu pencapaian jualan album yang terbaik XPDC sehingga kini.

Ketiadaan Allahyarham Mael memberi ruang kepada Ali (bekas penyanyi Terra Rossa). Ali mula menggantikan Allahyarham Mael untuk persembahan pentas pada sekitar 1997 tidak lama selepas album Brutal dikeluarkan dan dipasarkan. Kehadiran Ali sedikit sebanyak meningkatkan kerancakan sokongan terhadap XPDC kerana secara tidak langsung bersama-sama mempromosikan album Brutal serta meningkatkan jualan album berkenaan.

JENAZAH Allahyarham Mael selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bakri, Batu 6, Muar, semalam.
JENAZAH Allahyarham Mael selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bakri, Batu 6, Muar, semalam.

XPDC turut melakar sejarah apabila berjaya mengadakan konsert skala besar dan malam rakaman yang berjudul Konsert Raksasa XPDC Brutal Stadium Negara pada April 1998 di Stadium Negara, Kuala Lumpur.

Kumpulan yang memiliki sejarah kegemilangan tersendiri, malah disanjungi ramai khususnya peminat setia mereka apabila menjulang XPDC sebagai 'Metallica Malaysia'.

Ali berjaya membuktikan kemampuannya pada 1998 menerusi album Samurai dengan lagu seperti Teman dan Semangat Perjuangan Harmoni.

Namun, pada 2005 Ali memilih untuk keluar dan Allahyarham Mael mula membuat penampilan semula. Kemudian, pergolakan berlaku sesama ahli kumpulan.

Akhirnya, kini XPDC menjadi dua kumpulan berbeza sehingga ada kumpulan peminat yang bertelagah sesama sendiri sama ada mahu bersama XPDC (Allahyarham Mael) atau XPDC (Ali).

Sepanjang 2017, XPDC Kita Peng-Yu yang dibarisi Allahyarham Mael, Jeff, Zuar dan Amy menjayakan beberapa konsert besar antaranya konsert Rockstage-Sound Of War XPDC & FTG sekitar Oktober 2017 dan Konsert Metal Legends XPDC & Cromok pada Februari 2018.

Sekalipun pernah terpalit dengan beberapa kontroversi peribadi pemergiaan Mael disifatkan sebagai satu kehilangan besar dalam dunia seni hiburan tanah air.

Apatah lagi Allahyarham Mael mempunyai aura sendiri ketika tampil menjayakan persembahan bersama kumpulannya.

Kini tiada lagi nada nyanyian keras Mael yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bakri, Batu 6, dekat Muar, pagi semalam.

Terdahulu, berita kematian Mael mula tular apabila disahkan anak perempuannya, Sharifah Irfatasha. Surat daftar kematian yang dikeluarkan Hospital Muar menyebut penyanyi ini menghembuskan nafas terakhir dalam perjalanan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar pada jam 8.41 malam.

Punca kematian disahkan akibat sesak nafas. Allahyarham meninggalkan lima anak berusia 20 hingga 29 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2023 @ 6:30 AM