Awesome TV
Awesome TV
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Awesome TV mengeluarkan kenyataan balas kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh penerbit, Datuk Ayu Puteh, berhubung surat tuntutan caj kelewatan penerimaan bahan siaran yang diterimanya.

Dalam kenyataan itu, Awesome TV menjelaskan bahawa pihaknya sudah memfailkan tuntutan berjumlah lebih RM162 juta pada Januari lalu.

"Awesome TV ingin menjelaskan bahawa pihak kami sudah terlebih dahulu memfailkan tuntutan caj kelewatan penerimaan bahan siaran terhadap syarikat terbabit berjumlah RM162,192,000 pada Januari lalu. "Ini susulan kegagalan pihak Datuk Ayu untuk memenuhi syarat kontrak penerbitan drama bersiri bertajuk Di Sebalik Dia, berjumlah 28 episod bersama Awesome TV," katanya.

Dalam kenyataan sama, Awesome TV menegaskan bahawa pihak syarikat Pencil Pictures Sdn Bhd milik Ayu gagal menyempurnakan dua episod drama Di Sebalik Dia, seperti mana yang termaktub di dalam kontrak.

"Untuk rekod, syarikatnya, Pencil Pictures Sdn Bhd hanya menyiapkan 26 daripada 28 episod yang dijanjikan seperti termaktub di dalam kontrak bersama.

"Dua lagi episod gagal disempurnakan pihaknya, dan kesemua 26 episod yang disiapkan dihantar lewat kepada pihak Awesome TV dan tidak mengikut tarikh yang dipersetujui," katanya.

Kegagalan daripada pihak Pencil Pictures Sdn Bhd juga turut memberikan kesan serta masalah buat Awesome TV dalam menyusun jadual tayangan mereka.

"Ketidakpatuhan kepada syarat-syarat kontrak ini menimbulkan pelbagai masalah kepada Awesome TV yang terpaksa membuat penjadualan semula program secara drastik. Kelewatan pihak Datuk Ayu juga mengakibatkan pelbagai komplikasi dengan pihak pengiklan Awesome TV.

"Pihak Awesome TV tidak mempunyai pilihan selain daripada mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat Pencil Pictures Sdn Bhd pada Januari mengikut terma kontrak yang dipersetujui kedua-dua pihak.

"Kami kini menyerahkan perkara ini sepenuhnya kepada proses perundangan untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 5:26 PM