Penerbit Pencil Pictures Sdn Bhd, Datuk Ayu Puteh
Penerbit Pencil Pictures Sdn Bhd, Datuk Ayu Puteh
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Penerbit Datuk Ayu Puteh, 45, sudah mengemukakan usul kepada Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil malah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sedang meneliti kes tuntutanAwesome TV berjumlah lebih RM162 juta yang dikenakan kepadanya.

Ayu berkata dia semahunya ingin kes terbabit mendapat perhatian baik Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim sekalipun kerana menyifatkan ia sebagai sebuah penganiayaan dan penindasan.

"Kalau boleh saya nak PM kita pun ambil tahu hal tuntutan ratusan juta yang tak masuk akal oleh Awesome TV kepada penerbit macam saya ini. Saya tahu menteri atau PM tak suka penganiayaan macam ini wujud dalam negara.

"Sudahlah stesen itu paling rendah bayaran dan paling lambat buat bayaran kepada penerbit berbanding stesen lain. Ini adalah fakta, boleh tanya penerbit-penerbit lain. Bila buat bayaran tak ikut kontrak dan ikut suka hati masa mereka.

"Dia langsung tak fikir. Adakah mereka bayar bunga atau bayar lebih selama ini? Adakah mereka fikir penerbit yang ambil pinjaman beratus ribu dan tanggungjawab penerbit setiap bulan? Mereka tidak Peduli! Saya anggap mereka sangat pentingkan diri sendiri," katanya.

Penerbit Pencil Pictures Sdn Bhd itu terkilan Awesome TV membuatkan dirinya seperti peminta sedekah selepas berhabis wang siapkan kandungan untuk mereka. Disebabkan itu, dia terpaksa failkan saman kerana menanggung bebanan besar.

"Saya tiada pilihan dan bukan suka-suka saman. Syarikat saya kecil saja dan lagi lama tak dibayar, lagi terbebanlah saya. Bila saya saman, mereka putar belit buat tuntutan RM162,192,000 konon lambat hantar bahan pula.

"Masa bagi penamatan kontrak 'backdated' itu, drama 26 episod saya itu sudah ditayangkan semua. Sudah sampai waktu untuk mereka buat pembayaran sebab invois pun sebab sudah matang 90 hari ikut kontrak. Sampai berbulan lamanya pun masih tak bayar saya.

"Bila hutang tak bayar, saya saman dan masa itulah tuntutan datang kepada saya. Kenapa? Selama enam bulan stesen itu senyap saja. Elok saja minta bahan, minta kami dan artis promosi sampailah tayangan episod ke-26 drama itu," katanya.

Ayu menyeru Awesome TV supaya tidak membuang masa dan bebankannya dengan tuntutan tidak masuk akal itu.

Menurutnya, mungkin itu adalah cara mereka bagi melengahkan pembayaran terbabit.

"Awesome TV sengaja melambatkan urusan pembayaran dan cuba berlengah-lengah kerana tak mahu bayar segera atau mungkin tiada duit. Kenapa tak profesional saja, bayar apa yang sudah digunakan dan disiarkan," katanya.

Terdahulu, Ayu memfailkan saman terhadap stesen terbabit selepas tidak mengendahkan dua notis tuntutan bayaran untuk dramanya. Kemudian, secara mengejut dia menerima surat tuntutan caj kelewatan penerimaan bahan siaran daripada syarikat terbabit berjumlah RM162,192,000.

Ia disusuli Awesome TV mengeluarkan kenyataan balas terhadap Ayu berhubung surat tuntutan caj kelewatan penerimaan bahan siaran.

Penerbit itu seterusnya tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi melaporkan kenyataan palsu kepada media dan berita TV yang dibuat stesen berkenaan membabitkan nama dan syarikatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 12:48 PM