Zurainah (tengah) bersama barisan penerbit (dari kanan) Fadzil Teh, Datuk Rafiena Ezanee, Datuk A.Aida, Datuk Ayu Puteh, Datuk Mahadhir dan Jaja Ishak.
Zurainah (tengah) bersama barisan penerbit (dari kanan) Fadzil Teh, Datuk Rafiena Ezanee, Datuk A.Aida, Datuk Ayu Puteh, Datuk Mahadhir dan Jaja Ishak.
Najiy Jefri


Hulu Klang: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengambil maklum isu tunggakan bayaran program tv membabitkan penerbit dan stesen tv Awesome TV.

Pengerusinya, Datuk Seri Zurainah Musa berkata, Finas akan bertindak sebagai orang tengah dan bakal mengaturkan pertemuan dengan stesen televisyen berkenaan dalam tempoh terdekat.

"Pertemuan hari ini bukan untuk mencari salah mana-mana pihak. Finas sedia menerima aduan yang dibangkitkan penerbit. Sebagai tindakan kami akan mengatur pertemuan dengan Awesome TV dan berbincang secara realistik dan profesional.

"Kami akan mencari kata putus bersama melalui perbincangan sihat dan mencari penyelesaian yang akan memberi manfaat pada kedua-dua pihak.

"Dalam perbincangan itu kami akan pastikan ada tarikh penyelesaian, namun kami masih bertimbang rasa dan percaya pasti ada jalan keluar yang lebih efektif dan cepat.

"Kalau boleh kami ingin masalah tunggakan pembayaran diselesaikan secara baik tanpa membabitkan tindakan undang-undang. Tiada siapa suka berhutang tetapi kita akan cuba berbincang dengan lebih mendalam supaya mencapai kesepakatan," katanya ketika ditemui pada sesi pertemuan bersama Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) dan Persatuan Penerbit Filem (PFM), di sini, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden PTVM, Datuk A Aida berkata, dia memohon ahli yang berdepan masalah supaya bersabar dan memberi masa kepada Finas untuk menyelesaikan isu itu secara baik.

"Ada dalam kalangan ahli tidak mampu lagi bersabar kerana sudah menunggu hampir setahun, hingga ada yang mahu mengambil tindakan saman.

"Cuma saya menasihatkan ahli supaya jangan buat keputusan yang drastik, sebaliknya beri laluan kepada Finas berbincang dengan pihak sana sebelum membuat apa-apa tindakan.

"Sebagai wakil penerbit, saya minta Awesome TV melunaskan bayaran seperti di dalam kontrak asal yang sudah dipersetujui secara bersama," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan PFM, Datuk Ayu Puteh menegaskan dia perlu tampil bersuara bagi pihak ahli kerana ada ahli yang menanggung hutang dengan bank disebabkan kelewatan bayaran.

"Selama ini penerbit tidak berdepan masalah dengan pihak bank. Tapi apabila stesen tv culas, ia menjejaskan pinjaman balik kepada bank.

"Isu bayaran lambat boleh menjejaskan semua operasi penerbitan termasuk bayaran kru, pelakon, kos pengurusan syarikat dan sebagainya," katanya.

Dalam pada itu, penerbit Dark Wave Pictures Sdn Bhd, Datuk Rafiena Ezanee berkata, biarpun ketika ini belum berdepan masalah kewangan, namun dia berharap stesen tv itu dapat menyelesaikan tunggakan mengikut kontrak yang dijanjikan.

"Memanglah setakat ini masih belum ganggu urusan perniagaan, tetapi kita tidak tahu di masa akan datang. Kalau masalah ini berlarutan takut beri kesan kepada kami.

"Apabila ada isu duit begini, saya sendiri segan untuk minta selalu. Tetapi kalau sudah terlalu lama, perlulah ada satu tindakan untuk jelaskan semua masalah,"

Terdahulu, A Aida menyelar tindakan Awesome TV yang memberi tumpuan kepada isu paras rupa berbanding menjelaskan hutang kepada beberapa syarikat produksi yang masih tertunggak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2022 @ 6:15 PM