Ayu Puteh (kiri) bersama peguamnya membuat laporan polis di IPD Dang Wangi hari ini
Ayu Puteh (kiri) bersama peguamnya membuat laporan polis di IPD Dang Wangi hari ini
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penerbit Pencil Pictures Sdn Bhd, Datuk Ayu Puteh tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi melaporkan kenyataan palsu yang dibuat oleh pihak Awesome TV, membabitkan nama dan syarikatnya, hari ini.

Ayu ketika ditemui berkata, kenyataan yang dikeluarkan Awesome TV berkaitan tuntutan caj kelewatan penerimaan bahan siaran dengan jumlah lebih RM162 juta itu, mengandungi maklumat yang tidak tepat.

"Saya buat laporan polis selepas membaca laporan media, mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Awesome TV. Saya jadi terkejut sebab kenyataan itu palsu dan tidak benar, sekali gus memberi kesan kepada saya serta nama syarikat saya.

"Tindakan saman dan membuat laporan polis ini bukan atas kehendak saya, tetapi saya terpaksa buat sebab saya dah tak ada daya. Saya hantar surat secara berhemah, dengan budi bicara dan bertimbang rasa. Namun, tidak diendahkan," katanya kepada Harian Metro.

Ayu, 45, berkata, pihaknya tidak pernah menerima sebarang surat tuntutan pada Januari, seperti mana yang dinyatakan oleh Awesome dalam satu kenyataan.

"Mereka kata sudah hantar surat tuntutan pada Januari. Tapi, bila masa mereka hantar, sebab saya tak pernah dapat apa-apa tuntutan pada bulan itu?

"Kami menerima surat tuntutan caj kelewatan penerimaan bahan siaran dengan jumlah RM162,192,000 itu pada 1 Mac, selepas kami menyaman pihak mereka," katanya.

Ditanya mengenai 28 episod drama Di Sebalik Dia yang didakwa tidak lengkap, Ayu menjelaskan bahawa pihaknya memampatkan dua episod terakhir (27 dan 28) ke dalam 26 episod secara keseluruhan.

"Mengenai 28 episod drama seperti termaktub dalam kontrak, itu betul, tak bukan tak cukup dua episod. Saya mampatkan dua episod itu ke dalam 26 episod supaya jalan ceritanya lebih bagus dan tidak meleret-leret. Ini untuk kebaikan pihak Awesome TV sendiri dan syarikat saya juga.

"Saya dah 12 tahun bekerja dengan pelbagai stesen serta platform. Tapi tak pernah ada masalah sebegini berlaku," katanya.

Mengulas lanjut mengenai pertemuannya dengan pihak atasan Awesome TV, Ayu berkongsi mengenai penghinaan terhadap dirinya.

"Pernah juga saya berjumpa dengan pihak atasan Awesome TV untuk meminta bayaran tertunda, tapi, saya dipandang hina. Katanya, dia hilang hormat kepada saya kerana saya tak stabil.

"Tak stabil, maksudnya dari segi kewangan. Sebabnya, saya minta bayaran 30 peratus yang sudah tertunda itu. Sedangkan, saya dah keluarkan wang sendiri sehingga RM300,000 ke RM400,000. Bila tak cukup, saya merayu untuk mereka bayar.

"Tapi, saya pula dipandang rendah. Bukan kita tak ada duit dan bukan kita hanya bekerjasama dengan stesen mereka sahaja. Tapi, kenapa sombong sangat? Nak jadi manusia, jangan sombong.

"Kalau bayar ikut kontrak, kami sebagai producer pun akan jalankan semuanya dengan sangat lancar. Untung sikit pun tak apa. Kalau ikut kontrak, semuanya akan tersusun," katanya.

Ayu hadir ke IPD Dang Wangi ditemani peguam, pasukan peguamnya, diketuai peguam, Zahrin Ishak.

Terdahulu, Awesome TV mengeluarkan kenyataan balas terhadap Ayu berhubung surat tuntutan caj kelewatan penerimaan bahan siaran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 6:31 PM