Bunga Isme
Bunga Isme
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi rap, Bunga Isme, 23, menyarankan penggiat seni muda yang teringin memiliki aset seperti rumah agar membuat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sendiri atau simpanan peribadi seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Bunga atau nama sebenarnya, Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari berkata, pendekatan sebegini (simpanan peribadi) adalah tindakan wajar bagi mendapatkan keyakinan daripada pihak perbankan untuk kelulusan pinjaman rumah yang berpeluang dibelinya pada tahun lalu.

"Sebagai anak seni yang boleh dikata 'bekerja sendiri' dan tidak mempunyai penyata gaji bulanan, saya akui tidak mudah mendapatkan kelulusan untuk buat pinjaman membeli rumah. Namun, saya bersyukur mempunyai caruman KWSP sendiri.

"Inisiatif ini (potongan caruman KWSP) memang saya buat sendiri sebagai persediaan simpanan hari tua sejak awal bergelar anak seni. Ditambah, saya juga masih meneruskan pengajian di universiti lagi," katanya ketika ditemui Harian Metro baru-baru ini.

Bunga berkata, hasrat memiliki rumah sendiri itu mendapat sokongan penuh daripada adik-beradiknya yang lain, berikutan sebagai anak bongsu, dia juga menetap bersama ibu, Siti Rohani Awang, 67.

"Alhamdulillah, saya bangga dengan pencapaian diri sendiri walaupun masih baharu aktif dalam karier seni selama beberapa tahun ini. Apa yang dimiliki sekarang, berkat doa daripada keluarga yang membantu saya membuat keputusan tepat agar membeli rumah dahulu.

"Pada mulanya, dengan wang dikumpulkan saya berbelah bahagi sama ada mahu membeli kereta atau rumah. Tapi, kakak saya menasihatkan lebih baik pada usia muda ini, didahulukan membeli rumah, kemudian baru kereta. Syukur, sekarang saya sudah memiliki rumah dan kereta sendiri," katanya.

Difahamkan, Bunga berjaya membeli kediaman jenis kondominium yang terletak di Hulu Langat, Selangor, dengan anggaran harga RM300,000 berserta keluasan 1,100 kaki persegi.

Malah, dia dijangka boleh berpindah ke kediaman itu pada tahun ini.

Terdahulu, Bunga sebelum ini cukup dikenali dengan lagu Intan Payung duet bersama Noraniza Idris, Amaran (duet Siti Nordiana) serta Belai (duet Amsyar Lee), selain lagu solo seperti Apadehal, Mereng dan Buai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 January 2023 @ 12:49 PM