Bunga pada majlis pelancaran single dan muzik video terbaru bertajuk AMARAN. FOTO ROHANIS SHUKRI
Bunga pada majlis pelancaran single dan muzik video terbaru bertajuk AMARAN. FOTO ROHANIS SHUKRI
Syafil Syazwan Jefri

 

Kuala Lumpur: Penyanyi rap, Bunga Isme mengakui terkejut apabila namanya dituduh menjadi punca kepada perpisahan pasangan penyanyi, Ismail Izzani dan Shalma Eliana. 

Bunga atau nama sebenarnya Noor Ayu Fatini berkata, dia sendiri tidak tahu dari mana gosip itu muncul kerana dia dan pasangan selebriti itu berkawan baik. 

"Saya memang terkejut apabila nama saya 'naik' sebab saya tak tahu apa-apa. Saya berkawan dengan mereka dan hubungan kami semua baik-baik sahaja," katanya kepada Harian Metro. 

Menurut Bunga, dia juga menghubungi ibunya untuk berkongsi luahan rasa ketika perkara itu menjadi bualan. 

"Apabila berita itu menjadi bualan, saya hubungi mak dan bertanya, kenapa orang buat begini kepada saya. Tapi, biasalah, kalau kita tak buat apa pun, orang akan bercakap. 

"Saya anggap berita itu seperti angin lalu sahaja sebab orang tak tahu situasi sebenarnya," katanya. 

Bunga juga menerima beberapa kiriman mesej (DM) berbaur kecaman di media sosial selain menerima ucapan maaf daripada Shalma.

"Ada beberapa DM saya terima menggunakan bahasa serta kata-kata kasar. Tapi, saya pilih untuk buat tak tahu sebab kalau dilayan, saya sendiri akan lebih tertekan dan sedih,"

"Shalma ada menghubungi saya dan memohon maaf. Tapi, saya beritahu kepadanya bahawa ini bukan salah sesiapa dan tak perlu minta maaf," katanya. 

Bunga mengenali Ismail dan pertama kali bertemu dengan penyanyi itu ketika menghadiri sebuah acara anugerah bertaraf antarabangsa. 

Sehari kemudian, namanya dipetik oleh netizen yang menganggap dia menjadi punca perpisahan Ismail dan Shalma. 

Terbaru, Bunga kini tampil dalam single terbaru Siti Nordiana berjudul Amaran. Bukan hanya sebagai penyanyi rap, Bunga juga terbabit sebagai penulis lirik bersama dalam lagu itu. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 4:32 PM