NANA, Bunga Isme serta Dola mahu  kekal fokus untuk terus relevan dalam industri.
NANA, Bunga Isme serta Dola mahu kekal fokus untuk terus relevan dalam industri.
Norhayati Nordin


HARI ini, bermulalah tirai 2022 dibuka dan bagi sepanjang tahun ini pastinya kita belum tahu lagi apa akan berlaku seterusnya.

Namun, kehidupan tetap harus dipacu walaupun ada cabaran yang menanti.

Sempena tahun baharu ini, semestinya pentas hiburan tanah air ada beberapa bintang yang dilihat mungkin terus 'bersinar cemerlang' di dalam karier seni mereka berikutan sokongan padu diberikan peminat.

Justeru, tiga selebriti pilihan RapXtra kali ini pastinya terarah kepada penyanyi dan pelakon, Siti Nordiana Alias atau Nana, penyanyi rap meningkat naik, Bunga Isme dan kumpulan penyanyi wanita popular masa kini, Dolla.

Ikuti apakah impian mereka untuk tahun ini terhadap karier diceburi memandangkan bukan mudah untuk memiliki termasuk terus mempertahankannya?

SITI Nordiana
SITI Nordiana

Siti Nordiana

"Syukur kepada Allah di atas rezeki dikurniakan ini dan saya sekadar mengharapkan kelangsungan karier berjalan dengan lebih baik lagi. Terlalu besar dugaan yang kita semua hadapi sepanjang dua tahun ini yang menuntut kesabaran.

"Sebagai permulaan, yang pasti saya teruja dengan kehadiran drama baharu, Sayap Bagimu di TV3 yang menggandingkan saya semula dengan Alif Satar selepas kali terakhir kami berlakon bersama dalam drama Klik! Pengantin Musim Salju pada 2018.

"Semoga drama ini mendapat sambutan baik dan bagi karier nyanyian pula, saya tak sabar untuk tampil dengan single baharu hasil ciptaan Datuk M Nasir. Ini kali pertama saya mendapat peluang merakamkan lagu beliau," katanya.

Nana yang popular dengan lagu Angkara termasuk dua single duet berjudul Sekali Lagi bersama Nubhan Ahmad dan terbaharu, Amaran dengan Bunga Isme mengharapkan agar dia tidak lagi dipalit kisah sensasi seperti tahun lalu.

"Harapan saya seterusnya nak fokus memperbaiki diri agar jadi lebih baik dalam perjalanan karier dn kehidupan. Saya akan bekerja bersungguh-sungguh demi rezeki buat keluarga dan saingan bakat baharu pula bagi saya, perkara biasa dan okay saja.

"Memang lumrah yang saya kena hadam dalam industri hiburan ini bahawa setiap yang lama pasti akan ada bakat baharu. Malah, situasi ini turut dialami bidang kerjaya lain juga dan tidak hanya industri hiburan. Untuk saya, ia persaingan sihat dalam mewarnai bidang seni dan percayalah kepada rezeki," katanya.

BUNGA Isme
BUNGA Isme

Bunga Isme

Nama Bunga Isme ternyata masih hijau dalam industri hiburan tanah air.

Apatah lagi, baru tiga tahun mempertaruhkan bakat nyanyiannya, namun hingga kini sudah menghasilkan 13 single termasuk secara solo dan duet.

Bunga Isme atau nama sebenarnya Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari juga pernah terbabit menyanyikan lagu tema seperti OST Ejen Ali: The Movie menerusi Bukalah Matamu duet Aisyah Aziz, Apadehal (OST Aku, Bunga) dan Mereng (OST Holiday Haji Tom).

"Saya hanya mampu bersyukur dengan rezeki kurniaan Allah ini. Ia berkat doa ibu bapa saya, rakan-rakan di sekeliling yang banyak membantu termasuk artis-artis sudi bekerjasama dengan saya.

"Sejujurnya, saya ingin mendedikasikan pencapaian ini dan ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang banyak menolong kerana tanpa mereka saya buntu tak tahu nak buat apa.

Namun, untuk tahun ini saya merancang muncul dengan satu album istimewa buat peminat," katanya.

Menurut Bunga, penghasilan album itu satu penghargaan bermakna buatnya kerana bakal bekerjasama dengan penggiat seni tempatan termasuk beberapa artis, penerbit lagu, pengarah muzik video dan pasukan Warner Music Malaysia.

"Saya harap semua perancangan ini akan berjalan lancar dan peminat akan terus menerima baik lagu-lagu saya yang bakal dilancar tidak lama lagi dan semoga yang terbaik buat saya.

"Apapun, saya amat bersyukur kerana perjalanan kerjaya seni berada 'on track' di atas segala peluang diberikan semua pihak berkaitan. Mereka selalu ingatkan saya serta memberi peluang untuk belajar dan terokai perkara baharu. Impian saya agar kekal relevan, sentiasa mencari lagu yang sesuai kerana saya mahu ada impak yang boleh beri kesan kepada pendengar," katanya.

Setakat ini, Bunga sudah bekerjasama dengan penyanyi seperti Aizat Amdan, Aziz Harun, Noraniza Idris, Layla Sania, Joe Flizzow termasuk Ali Gatie untuk 'remix' lagu Welcome Back dalam Bahasa Malaysia.

DOLLA dianggotai Angel (dari kiri), Sabronzo, Tabby dan Syasya.
DOLLA dianggotai Angel (dari kiri), Sabronzo, Tabby dan Syasya.

Dolla

Baru dua tahun di pentas nyanyian, Dolla dianggotai Wan Sabrina Wan Rusli atau Sabronzo, Noorsyasya Afiqah Shahrizal (Syasya), Tabitha Ariel Lam Lianne (Tabby) dan Angelina Chai (Angel) terus memacu laju karier seni mereka.

Sudah menghasilkan lima single, tahun lalu membawa impak pencapaian besar buat Dolla iaitu wajah mereka muncul di papan iklan digital tersohor Times Square, News York, Amerika Syarikat, meraih Anugerah Platinum untuk Penjualan Single Terbaik (Best Selling Single), Impikan yang distrim lebih 200,000 pendengar dan menang Artis Baharu Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular BH ke-34 (ABPBH 34).

Mewakili Dolla, Syasya berkata, mereka bersyukur dan gembira apabila banyak peluang diberikan termasuk kerjasama dengan jenama terkemuka luar negara. Jelasnya lagi, mereka juga sangat berterima kasih dengan sokongan daripada kelab peminat, iDolla.

"Tahun ini, semestinya kami akan terus berusaha menghasilkan muzik yang kena dan dekat dengan iDolla serta pendengar yang lain. Buat masa ini, kami dalam proses menyiapkan single baharu yang akan dilancar tidak lama lagi.

"Selain itu, Dolla juga bersedia melebarkan bakat kami dalam cabang seni lain kerana sentiasa terbuka untuk menerima dan mencuba benda baharu jika ditawarkan. Bagi kami, peluang sangat berharga dan takkan ditolak," katanya.

Bernaung dengan Universal Music Malaysia, Dolla juga tidak menyangka kemunculan awal mereka sejak 2020 lalu, sudah mendapat perhatian peminat luar negara yang disifatkan menjadi pemangkin semangat untuk menaikkan nama 'MPop' di mata dunia.

Antara lagu popular Dolla ialah Make You Wanna, Impikan, Watch Me Glow, Raya Raya Raya dan terbaharu, Berani. Malah, Dolla juga pernah terbabit konsert amal, Stay Strong Malaysia secara virtual.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 January 2022 @ 7:00 AM