AKSI Bunga ketika menyanyi rap dengan berhijab dan berbaju kurung. FOTO Ihsan Pembaca
AKSI Bunga ketika menyanyi rap dengan berhijab dan berbaju kurung. FOTO Ihsan Pembaca
Suraya Roslan


“SAYA tahu ramai yang mengkritik penampilan saya berbaju kurung dan bertudung (menyanyi) dengan membawa genre rap, namun saya mahu membuktikan inilah peluang untuk menonjolkan pakaian tradisional Malaysia di mata dunia.”

Demikian kata Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari, 19, atau lebih dikenali sebagai Bunga yang menjadi ‘rapper’ pertama di Malaysia dengan penampilan menutup aurat dengan berbaju kurung dan bertudung ketika melakukan persembahan.

Nama anak jati dari Perak itu disebut-sebut selepas mengadakan persembahan di Festival Seni Melayu ‘Pesta Raya’ di Singapura, minggu lalu dan tular di media sosial, malah menjadi tajuk utama beberapa portal berita antarabangsa.

Penuntut Diploma Pentadbiran Awam Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban 3 itu berkata, dia akan tetap akan menutup aurat dengan sempurna dalam setiap persembahannya.

“Saya akan jadikan setiap kritikan netizen sebagai nasihat dan akui diri masih belajar untuk menjadi rapper yang bagus.

“Apa yang saya bawa bukan semua orang suka dan boleh terima, tetapi saya akan jadikan ia nasihat dan pedoman untuk menjadi anak seni berjaya,” katanya ketika dihubungi wartawan Harian Metro.

PENAMPILAN Bunga sebagai rapper berhijab mencuri perhatian persada muzik dunia. FOTO Ihsan Pembaca
PENAMPILAN Bunga sebagai rapper berhijab mencuri perhatian persada muzik dunia. FOTO Ihsan Pembaca

Bunga mengakui, pada mulanya keluarga tidak begitu merestui jalan dipilihnya untuk menjadi anak seni dan mahu dia fokus dalam pelajaran.

“Namun, mereka dapat menerima kerjaya baru ini selepas melihat ia adalah salah satu punca rezeki selepas mengikat kontrak dengan Warner Music.

“Menjadi rapper wanita tidak semestinya saya perlu bersikap seperti lelaki dan samseng, asalkan mereka faham apa yang saya cuba sampaikan dalam lirik lagu saya, semuanya akan baik saja,” katanya yang gemar menulis puisi.

Bunga mula dikenali tahun ini apabila video di Youtube bertajuk ‘16 Baris’ bersama Joe Flizzow menerima 1.4 juta tontonan.

“Saya perlu akui ketika ini genre rap banyak dimonopoli oleh lelaki berbanding wanita, lebih-lebih untuk mereka yang berhijab.

“Tetapi, saya sedar mungkin ramai lagi mereka yang berhijab di luar sana yang mahu (menyanyi) rap, tetapi malu, nasihat saya jangan risau untuk melakukan apa yang kita suka,” kata Bunga.

Bunga juga mengakui menjadi anak seni bukan pilihan utama dalam perjalanan kerjayanya.

“Impian awal saya adalah menjadi ahli politik atau peguam, mungkin akan datang saya akan jadikan kerjaya ‘rapper’ sebagai sampingan,” katanya.

Mengakui sedikit mencabar apabila membuat persembahan dengan berbaju kurung menyebabkan pergerakannya sedikit terbatas.

“Saya tidak boleh melompat begitu banyak apabila memakai baju kurung, tetapi inilah sebenarnya imej sebenar wanita dan tidak menjadikan kekangan itu sebagai batasan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 8:59 PM