Zed Zaidi
Zed Zaidi

Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi, 42, menyifatkan isu disuarakan pelakon Sharnaaz Ahmad berhubung amalan kerja lebih masa berikutan jadual penggambaran tidak menentu pihak produksi adalah perkara lama yang sudah pun pernah dibangkitkannya sebelum ini.

Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil berkata, namun pihaknya sebagai persatuan tidak mempunyai kuasa, cuma boleh mencadang dan mendesak supaya perkara ini boleh berlaku dengan cadangan dan kertas kerja yang kita boleh bantu agensi kerajaan atau pun kementerian yang terbabit.

"Jadi, kalau kita lihat pada hari ini, itu yang saya katakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) tidak berfungsi dengan baik.

"Ini 12 jam (waktu bekerja) adalah salah satu sebahagian ekosistem dalam industri. Kebanyakan sebelum ini apabila saya di Finas, benda-benda macam inilah yang saya perjuangkan untuk ditekan menjadikan sebagai satu dasar supaya perkara ini dapat kita selesaikan secara holistik dalam industri melalui penguatkuasaan atau pun kuasa dasar menerusi Finas itu sendiri.

"Tetapi, malangnya saya tidak lama di dalam Finas, jadi saya tak sempat nak membuat perkara salah satunya limit (had) masa bekerja ini," katanya.

Menurut Zed Zaidi, Seniman tidak dapat menyelesaikan banyak masalah-masalah dasar terutama sekali yang membabitkan ekosistem yang menjadi paling utama, salah satunya ialah limit masa bekerja.

"Ini yang sebenarnya yang kita perlu selesaikan kerana masalah ini adalah paling utama dalam industri.

"Saya berharap benda ini akan dapat diselesaikan dan Seniman sentiasa bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk membina satu ekosistem yang lebih baik dan pandangan serta idea untuk selesaikan masalah ini pun, kita boleh bantu," katanya.

Terdahulu, Sharnaaz dikatakan berang dengan tindakan produksi yang masih mengamalkan jadual penggambaran tidak menentu hingga pelakon dan kru 'lunyai' akibat bekerja lebih masa.

Menerusi hantaran dibuat dalam Instagram Stories, Sharnaaz meluahkan kemarahannya terhadap sebuah produksi yang didakwa menjalani penggambaran memakan masa hingga 20 jam sehari.

Bengang dengan sikap degil produksi dianggap sebagai punca utama, pelakon filem Jebat ini meminta persatuan penggiat seni yang berkaitan seperti Seniman dan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) dapat memantau, sekali gus mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan budaya lapuk ini tidak berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2022 @ 8:06 PM