Mesyuarat Agung Seniman berlangsung di Finas
Mesyuarat Agung Seniman berlangsung di Finas
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Zed Zaidi berjaya mengekalkan jawatan Presiden yang disandang sebelum ini bagi penggal 2022-2025 dalam Mesyuarat Agung Ke-21 yang berlangsung di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), hari ini.

Pemilihan yang berlangsung turut menyaksikan Timbalan Presiden disandang oleh Rena Tan, manakala lain-lain jawatan iaitu Setiausaha Agung (Hafiz Nafiah), Penolong Setiausaha Agung (Salman Al Farisi) dan Bendahari (Zarina Mohamad Nor).

Hafiz dalam kenyataan berkata, mesyuarat yang berlangsung di Pawagam Mini P Ramlee Finas, Hulu Kelang itu dihadiri 100 ahli berdaftar yang aktif keahlian dan layak untuk mengundi.

"Mesyuarat berjalan lancar dan pemilihan ahli jawatankuasa yang baru bagi sesi 2022-2025 berlangsung seperti dirancang.

"Seniman berasa terharu dengan sokongan serta dorongan ahli-ahli Seniman yang hadir bagi mengikuti perjalanan mesyuarat pada kali ini.

"Segala cadangan dan pandangan akan diambil kira untuk kepimpinan baharu Seniman meneliti segala aspek sebelum dilaksanakan," menurut kenyataan itu.

Senarai ahli jawatankuasa Seniman bagi penggal 2022-2025 ialah; Aril Pilus, Datuk Zamzuri, Datuk Amir, Tony Tuah, Nor Azifah, Azura Aziz dan Datuk Subash.

Pemeriksa kira-kira pula ialah Samsuri Shahrom dan Sharifah Muhamad.

"Seniman mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua ahli-ahli yang sentiasa bersama kepimpinan Seniman selama ini.

"Insya Allah kepimpinan baru Seniman akan terus memperkasakan lagi dasar-dasar Seniman di bawah kepimpinan Presiden Zed Zaidi untuk penggal baru ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2022 @ 4:25 PM