Faizal Tahir. FOTO ZUNNUR AL SHAFIQ
Faizal Tahir. FOTO ZUNNUR AL SHAFIQ
Georgie Joseph


PENYANYI, Faizal Tahir mengesahkan bakal mengadakan konsert solonya selepas lama memendam hasrat yang dijadualkan akan berlangsung pada 3 November tahun ini.

Menurut Faizal, 39, dia teruja akhirnya mendapat tarikh tetap selepas menunggu selama beberapa tahun untuk merealisasikan impiannya itu.

“Perancangan mengadakan konsert itu sebenarnya sudah dimulakan selepas album saya Anatomi dilancarkan. Bagaimanapun susah untuk mendapat tarikh yang sesuai disebabkan tidak kena pada masanya.

“Konsert yang dianjurkan Starplanet dan Warner Music Malaysia itu akan diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

“Saya menetapkan tema ‘moved’ untuk konsep persembahan nanti. Saya mahu penonton menari dan tersentuh dengan setiap nyanyian saya,” katanya.

Faizal juga mengatakan hasrat itu tertangguh disebabkan dia susah mencari masa untuk mempersiapkan diri daripada segi stamina.

“Untuk konsert itu, saya kena ambil masa yang cukup bagi mempersiapkan diri. Saya kena masuk ‘gym’ semula dan bersenam bagi memantapkan stamina.

“Bukan satu atau dua lagu saja saya nyanyikan tapi banyak. Saya tidak mahu nanti persembahan saya kurang bertenaga,” katanya.

Dalam pada itu, Faizal juga berharap akan dapat berduet dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza serta beberapa artis lain pada konsertnya itu.

“Saya memang teringin untuk menampilkan Siti tetapi itu semua bergantung kepada pengurusannya. Ada beberapa artis lagi saya akan jemput tetapi taklah terlalu ramai,” katanya.

Faizal ditemui pada majlis pratonton kempen Terima Kasih Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPTN), hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 4:23 PM