DATUK Seri Siti Nurhaliza
DATUK Seri Siti Nurhaliza
Sudirman Mohd Tahir


SELEPAS melahirkan anak dua tahun lalu dan kembali aktif menyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak perlu menunggu lama untuk muncul dengan single baharu.

Kejayaan lagu Anta Permana yang mendapat tempat di hati peminat mengukuhkan lagi nama dan kedudukan Siti dalam persada seni tanah air.

Walaupun sudah 25 tahun terbabit dalam bidang nyanyian, Siti masih komited berkarya dan terus aktif mewarnai industri muzik Malaysia.

Tidak hairanlah jika setiap karya dendangan penyanyi kesayangan ramai ini mendapat tempat di hati pendengar. Jika November lalu Siti muncul dengan single berjudul Terang, terbaharu Siti melancarkan pula single 7 Nasihat.

Lagu itu ciptaan ‘rapper’, komposer dan penerbit yang semakin meningkat naik iaitu pasangan duo Kmy Kmo dan Luca Sickta yang turut membuat penampilan istimewa dalam lagu ini.

Kmy Kmo dan Luca Sickta yang memperjuangkan muzik hip hop berkonsepkan ritma atas puisi cukup dikenali dengan karya ciptaan yang sarat dengan tradisi kemelayuan dari segi bunyi dan bahasanya.

Bertunjangkan konsep sama, 7 Nasihat berpaksikan kepada elemen muzik kemelayuan dan bait-bait lirik turut melambangkan kesantunan orang Melayu dalam memberi kritikan sosial menggunakan bahasa kiasan.

KMY Kmo (kiri) dan Luca Sickta turut buat
KMY Kmo (kiri) dan Luca Sickta turut buat

“Sebagai artis senior, saya tidak mahu ketinggalan dengan peredaran muzik semasa. Peluang bergandingan dengan duo komposer dan rapper muda ini satu cara untuk saya mendekati peminat muzik dan pendengar yang lebih muda.

“Lagu ini sebuah karya istimewa kerana menggabungkan hip hop, rap dan tradisional. Ini juga dapat menyuntik minat generasi muda menghayati gabungan irama yang digarap dengan begitu baik sekali,” katanya.

Single ini juga bertujuan untuk mengubat kerinduan peminat Siti sebelum muncul dengan album penuh pada April depan. 7 Nasihat adalah terbitan Siti Nurhaliza Productions dengan kerjasama Universal Music Malaysia ini boleh didapati di semua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 6:10 AM