Siti Nurhaliza pada sidang media persembahan amal Music of the soul- An Evening With Datuk Seri Siti Nurhaliza yang akan diadakan di Dewan Plenary KLCC. FOTO ROHANIS SHUKRI
Siti Nurhaliza pada sidang media persembahan amal Music of the soul- An Evening With Datuk Seri Siti Nurhaliza yang akan diadakan di Dewan Plenary KLCC. FOTO ROHANIS SHUKRI
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Penyanyi terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza menasihati penyanyi baharu supaya lebih banyak membuat latihan untuk menyanyikan lagu mereka jika membabitkan persembahan secara langsung atau 'live'. 

Siti, 43, berkata, sesi rakaman di studio dan persembahan secara langsung adalah dua situasi, emosi dan suasana berbeza. 

"Diakui dulu walaupun sudah biasa menyanyi, tapi apabila ada satu lagu yang memang tiba-tiba meletup dan kena menyanyi 'live', perasaan gementar memang banyak dan tinggi. Jadi, kalau artis baru dia kena hadapi perkara ini dengan tenang.  

"Memang betul kita sudah menyanyi sedap dalam studio. Orang nak dengar kita nyanyi 'live' tu lebih sedap atau sebaliknya. Memang kena bersedia mental fizikal. Jadi, kena selalu berlatih dan berlatih untuk melancarkan setiap nyanyian," katanya. 

Menurut Siti, tidak salah penyanyi baharu mengikuti kelas vokal sebagai persediaan dalam kerjaya mereka. 

"Tak salah ke kelas vokal. Kadang teknik nyanyian kita tak belajar. Apabila sudah belajar baru kita tahu teknik yang boleh membantu nyanyian kita. Sebab bila lagu tu dah popular menjadi masalah untuk kita pula. 

"Itu saya hadapi juga dulu, bila di studio menyanyi bukan main tinggi, bolehlah ulang banyak kali. Tapi bila nyanyi 'live' sekali saja, kalau menjadi, 'pitching' sampai, kiranya memang boleh menyanyi dengan baik. Tapi sebenarnya kalau kita menyanyi kena ikut kemampuan kita, latihan selalu, ia akan okay," katanya. 

Dalam masa sama, Siti mengakui ada ketikanya perasaan gementar itu masih ada dalam dirinya setiap kali sebelum membuat persembahan lagu baharu. 

"Perasaan gementar tu ada juga. Sebab tu kalau sudah keluarkan lagu kena bersedia, fizikal dan mental. Latihan hari-hari dan menyanyi. Macam mana sedap di radio tu, dengar jugalah macam mana kita nyanyi 'live'. Banyakkan latihan," katanya. 

Terbaharu, Siti bakal mengadakan persembahan Music of The Soul: An Evening with Dato' Sri Siti Nurhaliza, anjuran Yayasan Nurjiwa pada 5 dan 6 November depan di Dewan Planery, KLCC. Tiket bermula dari RM188 hingga RM1188 mula dijual di www.myticket.asia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2022 @ 3:08 PM