Ruhainies.
Ruhainies.
Norhayati Nordin


Hulu Langat: Pelakon popular Ruhainies, 29, selesa bersikap manja dan sangat mesra di lokasi penggambaran bersama rakan pelakon lelaki yang bergandingan dengannya untuk mewujudkan keserasian.

Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas ditemui berkata penting untuk dia menjalin hubungan mesra, baik dan rapat dengan rakan pelakon lelaki yang menjadi pasangannya untuk melancarkan kerjasama mereka.

"Ketika di lokasi penggambaran, saya tidak hanya rapat dan mesra dengan pelakon lelaki yang menjadi pasangan saya saja. Sebenarnya, saya baik, rapat dan mesra dengan semua pelakon lelaki dan juga perempuan. Termasuk, dengan kru produksi.

"Pada saya, apabila saya datang ke set penggambaran, saya nak semua orang 'happy'. Kalau 'mood' saya sendiri tak okey, nanti semua orang mesti tak okey juga. Nanti, seluruh set akan jadi 'sendu' dan saya tak nak macam itu.

"Saya nak orang 'happy' walaupun diri saya tidak sihat. Biasanya, saya akan pastikan makan ubat tahan sakit atau apa saja yang sesuai dulu untuk bagi saya bertenaga semula. Sebabnya, saya tak nak 'effect' orang lain di set, kalau sakit," katanya kepada Harian Metro.

Terbaharu, Ruhainies kini terbabit dengan penggambaran drama Sorry Naik Lori bergenre komedi sebagai watak Nadia yang begitu terpengaruh dengan media sosial. Drama ini juga adalah siri original iQIYI Malaysia.

Berbicara lanjut mengenai sikap positif dirinya itu, Ruhainies berkata dia memang manja dengan semua orang. Tegasnya, sama ada  pelakon lelaki dan perempuan, pendekatan dilakukan tetap sama bagi memudahkan kami membentuk keserasian sewaktu bekerjasama.

"Saya memang nak orang mudah rasa selesa dengan saya. Tak mahulah orang rasa janggal atau orang takut-takut dengan kita. Saya tak nak situasi yang sebegitu ketika bekerja," katanya.

Ruhainies berkata dengan aura positif dan ceria dibawanya dalam diri juga membuatkan dia kelihatan 'awet muda'. Katanya, sekarang kalau orang tanya berkaitan perkahwinan pun boleh ditepis lagi.

Sebelum ini, Ruhainies pernah mencetuskan gosip sensasi bersama pelakon Zul Ariffin berikutan hubungan mesra dan rapat mereka ketika membintangi drama Wifi Sebelah Rumah pada Mac lalu.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2022 @ 1:13 PM