PELAKON Ruhainies. FOTO Zunnur Al- Shafiq
PELAKON Ruhainies. FOTO Zunnur Al- Shafiq
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON Ruhainies membuat kejutan terhadap kekasihnya, Elff Johan dengan membawanya bersiar-siar menaiki helikopter di ruang udara Kuala Lumpur, semalam.

Ruhainies yang kini sedang menjalani penggambaran filem dan drama berkata, dia mencuri masa dan meminta cuti sehari daripada produksi drama berkenaan.

“Dia pun tak tahu saya merancang untuk membawanya bersiar-siar dengan menaiki helikopter. Jadi, semalam kami dibawa terbang di ruang udara Kuala Lumpur merentasi kawasan KLCC, Bukit Tabur hingga ke Batu Caves. Alhamdulillah, cuaca begitu baik dan kami dapat menikmati pemandangan ibu kota yang sangat indah. Selain kejutan dengan menaiki helikopter, saya juga bawa dia makan malam bersama," katanya.

Semalam juga Ruhainies berkongsi beberapa foto romantisnya bersama Elff selepas beberapa bulan tidak berbuat demikian.

Ruhainies berkata, dia tidak memuat naik gambar kekasihnya sejak beberapa bulan lalu kerana tidak mahu kisah percintaannya mengaburi prestasi kerjanya di mata peminat dan pengikut di Instagram.

"Saya sudah jarang muat naik foto bersamanya sebab takut nanti fokus orang ramai lebih kepada kisah cinta berbanding karier lakonan saya. Tapi, semalam saya muat naik semula sebab itu adalah sempena sambutan ulang tahun kelahirannya," katanya.

Terbaru, Ruhainies kini sedang menjalani penggambaran untuk filem Seandainya Kau Ada dan drama bersiri Maaf Tak Indah yang akan mula disiarkan di slot Samarinda TV3 esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Februari 2020 @ 3:45 PM