RUHAINIES. FOTO MUSTAFFA KAMAL
RUHAINIES. FOTO MUSTAFFA KAMAL
Norhayati Nordin


WALAUPUN kisah cintanya lebih hangat dan mendapat perhatian umum, kerjaya lakonan masih tidak diketepikan pelakon jelita, Ruhainies.

Hingga kini, Ruhainies, 27, tetap sibuk di lokasi penggambaran drama dan filem yang menjadi rezekinya.

Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas berkata, dia akan aktif berlakon selagi mendapat peluang.

“Saya sebenarnya tidak berniat untuk mencanang kisah cinta berbanding perkembangan kerjaya seni. Namun, perkara itu (kisah cinta) yang menjadi perhatian dan saya sering ditanyakan persoalan sama.

“Sebagai selebriti, saya sekadar berkongsi apa yang dirasakan patut memandangkan lebih selesa berterus-terang,” katanya.

Berbicara mengenai impian dan azam tahu barunya, Ruhainies berkata, soal perkahwinan belum diputuskan lagi.

“Rezeki saya dalam kerjaya seni masih tidak putus dan terbabit dalam beberapa projek lakonan. Sekarang, saya sibuk dengan penggambaran drama, Maaf Tak Indah untuk slot Samarinda TV3.

“Kemudian saya akan ke set penggambaran filem berjudul Seandainya Kau Ada terbitan Zeel Production,” katanya.

Ruhainies berkata, dia bersyukur dengan perjalanan kerjaya lakonannya yang diceburi sejak 2015.

Katanya, untuk tahun 2020 ini juga dia berharap mendapat peluang untuk melakonkan watak lebih mencabar.

“Saya tidak memilih watak cuma mana tahu akan dapat kepercayaan melakonkan watak berat dan aksi.

“Apapun, yang pasti saya sangat bersyukur kerana kerjaya lakonan masih bersinar hingga kini,” katanya.

Ruhainies yang turut menceburi perniagaan berkata, setakat ini kafe yang diusahakannya menerima sambutan baik dan positif.

Berkonsep keluarga dan lebih ‘privacy’ untuk pelanggan kafe dikenali Bites Dessert itu mula beroperasi Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Disember 2019 @ 6:05 AM