Ruhainies belum merancang untuk menamatkan zaman bujang.
Ruhainies belum merancang untuk menamatkan zaman bujang.
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon, Ruhainies belum merancang untuk menamatkan zaman bujang walaupun ada ura-ura dia bakal menjelang tahun depan.

Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul berkata, tumpuan masih kepada kerjaya memandangkan banyak komitmen kerja yang tertangguh perlu diselesaikan.

"Saya belum ada rancangan untuk berkahwin dalam masa terdekat sebab saya sibuk dengan penggambaran drama sehingga penghujung tahun ini.

"Seperti semua maklum, banyak kerja tertangguh akibat Covid-19. Jadi, apabila sudah dibenarkan menjalani penggambaran, jadual kerja saya padat," katanya kepada Harian Metro.

Ruhainies yang sudah menjalin cinta dengan lelaki dikenali sebagai Mr E itu mengakui tidak pernah risau sekiranya kekasihnya itu disambar orang.

"Bagi saya, kalau itu jodoh saya, maka dia akan menjadi jodoh saya sampai bila-bila. Jadi, saya tak risau kalau orang kata, menunggu terlalu lama berisiko untuk kekasih disambar orang," katanya.

Menurut Ruhainies, sekiranya perlu bertunang, dia tidak mahu mengambil masa lama sebelum berkahwin.

"Setakat ini kami tak ada rancang mengenai pertunangan. Tapi, saya tak suka kalau nak bertunang dalam tempoh yang lama. Mungkin paling lama pun, seminggu sebelum bernikah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 10:32 AM