Hairul Azreen bawa watak utama dalam The Assistant
Hairul Azreen bawa watak utama dalam The Assistant
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Bila ingat balik gila lah, sangat penat," kata pelakon Hairul Azreen yang perlu membina badan dan menjaga diet selama lima bulan bagi menjayakan filem The Assistant.

Hairul, 34, atau nama sebenarnya Hairul Azreen Idris berkata, dia juga perlu menurunkan berat badan dari 74kg hingga 64kg.

"Terus terang saya cakap, sakit apabila buat badan untuk filem ini. Saya kena diet dan kena berlawan dalam keadaan yang lapar. Saya kena tahan semua ni selama lima bulan sebab tiga bulan menjalani latihan dan dua bulan penggambaran.

"Berat badan normal 74kg, saya turunkan berat untuk watak Feroz sampai 64kg hingga cengkung pipi. Bayangkan anda lapar tapi kena kerja. Macam tu perasaan saya, lapar tapi kena berlakon. Tapi ini semua bukan untuk minta simpati tetapi kalau bukan anda sokong filem tempatan siapa lagi," katanya.

Hairul Azreen diet untuk mendapatkan berat badan sesuai
Hairul Azreen diet untuk mendapatkan berat badan sesuai

Menurut Hairul dia bersama pengarah, Adrian Teh, pelakon lain dan seluruh pasukan sudah buat yang terbaik untuk filem The Assistant yang bakal ditayangkan mulai esok.

"Kami buat yang terbaik untuk filem ini insya-Allah. Anda tak akan menyesal beli tiket. Itu janji saya. Cuma, perhatian adik-adik bawah 18 tahun tidak dibenarkan tonton filem ini. Terima kasih kepada semua yang dah beli tiket awal," katanya.

Selain Hairul, filem terbitan Sony Pictures Entertainment Malaysia dengan kerjasama Act 2 Pictures ini turut menampilkan pelakon Iedil Dzuhrie.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 12:28 PM