BARISAN pelakon filem The Assistant.
BARISAN pelakon filem The Assistant.
Sudirman Mohd Tahir

Nama pengarah, Adrian Teh, 38, cukup sinonim dengan filem bergenre aksi.

Karya yang dihasilkan juga bukan biasa-biasa, apatah lagi jalan cerita dan koreografi aksi yang dipaparkan cukup untuk membuatkan penonton terpaku.

Kejayaan setiap filem dihasilkan Adrian bukan hanya diukur dari segi pencapaian menerusi pencalonan dan anugerah dimenangi, tapi juga kutipan pecah panggung.

Ia sekali gus meletakkan Adrian antara pengarah aksi yang menjadi 'wishlist' bagi kebanyakan pelakon untuk bekerjasama dengannya.

Filem aksi seperti Paskal pada 2018 dan Wira (2019) meninggalkan impak yang cukup besar bukan saja pada peminat filem tempatan tapi juga mengembalikan 'nyawa' industri perfileman tanah air.

Terbaharu, Adrian kembali menerusi sebuah lagi filem aksi, The Assistant yang bakal menemui penonton di seluruh negara mulai 19 Mei ini.

Menurut Adrian, filem terbitan Sony Pictures Entertainment Malaysia dengan kerjasama Act 2 Pictures itu berbeza daripada kebanyakan filem aksi yang diarahkan sebelum ini.

"Filem kali ini kita cuba hasilkan jalan cerita yang ada plot 'twist'. Begitu juga dari segi keganasan, dari awal lagi sudah bersedia dan sanggup jika filem ini mendapat 'rate' tontonan untuk 18 tahun ke atas.

"Ini sebab saya nak buat sesuatu yang berbeza daripada filem sebelum ini. Bagi saya, nak buat genre macam ni kena ada unsur aksi dan keganasan yang padu. Jadi, ia sebenarnya cabaran buat saya dan seluruh pasukan yang mana perlu berani ambil risiko.

"Cuma, dari segi aksi, filem The Assistant ini agak kurang sedikit jika mahu dibandingkan dengan filem Wira. Namun, jalan cerita filem ini berbeza," katanya.

Seperkara yang menarik mengenai filem The Assistant adalah ia terlebih dahulu ditayangkan dan disenarai pendek pada festival filem antarabangsa, Far East Film Festival (FEFF) Ke-24 di Udine, Itali, baru-baru ini.

Menurut Adrian, filem itu juga dijemput untuk menyertai Neuchatel International Film Festival (NIFF) di Switzerland pada Julai depan.

ADRIAN ketengah filem aksi yang berbeza daripada filem sebelumnya.
ADRIAN ketengah filem aksi yang berbeza daripada filem sebelumnya.

"Tanpa usaha satu pasukan tidak mungkin kami mampu menghasilkan filem yang unggul. Satu pengalaman berharga apabila kami dapat menghadirkan diri di FEFF. Apa boleh dikatakan, mereka di sana sangat menghargai filem ini.

"Bayangkan selepas tamat tayangan, penonton bangun dan memberikan tepukan. Situasi itu tidak berlaku pada filem dari negara Asia lain. Maklum balas diberikan mereka itu cukup untuk membuatkan kami yang ada di situ berasa sangat bangga, terharu dan dihargai.

"Selepas di FEFF, filem ini juga bakal ditayangkan di Neuchatel International Film Festival (NIFF) di Switzerland pada Julai depan. Kemudian ada satu lagi festival filem pada Ogos. Buat masa sekarang, The Assistant hanya akan ditayangkan dalam negara dan Singapura dulu secara serentak," katanya.

Bagi pelakon utama filem ini, Hairul Azreen yang juga kali kelima bekerjasama dengan Adrian, dia menyifatkan pengarah itu mempunyai misi besar pada setiap karya.

"Diakui saya selesa bekerja dengan Adrian. Dia ada misi dalam bekerja. Setiap karya dia berbeza dan mungkin selepas ini dia buat aksi lain pula, siapa tahu kan. Tidak dinafikan, pasukan Adrian sangat berdisiplin dan menjaga masa. Dia tak pernah lambatkan penggambaran. Kalau 'call time' jam 6 pagi, penggambaran akan tamat jam 6 petang.

"Selepas itu, saya masih lagi ada masa untuk teruskan latihan. Mereka juga menjaga artis dengan baik dan itu membuatkan saya senang untuk kerap bekerjasama. Susah nak jumpa produksi macam mana Adrian dan pasukan berikan," katanya.

Berkongsi pengalamannya ketika hadir ke Far East Film Festival, Hairul berkata, maklum balas positif diterima membuatkan dirinya berasa segala penat lelah mereka dalam filem itu berbaloi dan terbayar.

Selain Hairul, filem The Assistant yang menelan belanja RM6 juta itu turut menampilkan lakonan Iedil Dzuhrie Alaudin atau Iedil Putra, Henley Hii dan Farali Khan.

The Assistant mengangkat kisah Zafik lakonan ledil yang terpaksa merengkuk dalam penjara atas kesalahan tidak dilakukan.

Selepas hilang segala-galanya, Zafik bertemu Feroz (Hairul Azreen) yang sering muncul pada waktu yang tepat. Adakah Zafik berjaya merungkai motif sebenar Feroz?

Sepanjang perkenalan, berlaku pelbagai konflik dan pertarungan hingga pertumpahan darah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 6:20 AM