Hairul Azreen hanya berjaya menaikkan berat sebanyak lima kilogram.
Hairul Azreen hanya berjaya menaikkan berat sebanyak lima kilogram.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Badan tak gemuk pun, tapi pipi saja yang tembam," kata pelakon popular, Hairul Azreen mengenai 'kegagalannya' menaikkan berat badan bagi menjayakan watak dalam filem terbitan Netflix, Pasal Kau.

Hairul berkata, dia hanya berjaya menaikkan berat sebanyak lima kilogram (kg) daripada berat asalnya 75 kg dalam tempoh dua bulan.

"Saya diberi masa dua bulan untuk gemuk, tetapi gagal dalam misi itu dan hanya pipi yang tembam. Filem genre romantik komedi ini memerlukan saya menjadi gemuk. Namun, dalam tempoh itu saya tak berjaya jadi gemuk walaupun saya makan banyak. Malah, pada sebelah malam saya makan coklat dan tidur dengan coklat," katanya yang bergandingan dengan Janna Nick dalam filem yang akan ditayangkan mulai 1 Oktober ini.

Hairul berkata, dia tidak boleh melakukannya dalam tempoh dua bulan. Bagaimanapun, jika diberi masa setahun, dia mungkin boleh melakukannya.

Disebabkan tidak berjaya menaikkan berat badan, dia perlu memakai sut khas supaya kelihatan gemuk dan berisi.

Menurut Hairul, kesan daripada pengambilan makanan yang tidak seimbang bagi menjayakan filem terbabit turut menyebabkan lemak badannya meningkat 13 peratus.

"Memandangkan saya makan banyak dan tak menentu, saya membuat pemeriksaan kesihatan bulan lalu. Alhamdulillah semuanya ok, cuma lemak badan menjadi 13 peratus.

"Ketika menjayakan filem Wira, lemak badan hampir tidak ada. Apabila menjadi 13 peratus, saya anggap ia biasa untuk manusia normal," katanya.

Dalam masa sama, Hairul berkongsi rutin berbeza jika dia menjayakan filem aksi.

"Kalau buat filem aksi, saya akan banyak melakukan kardio dan menjaga pemakanan. Ketika berlakon filem Wira, saya fokus kepada aksi pergaduhan, kecergasan dan senaman. Dalam sehari saya buat tiga perkara dan enam kali seminggu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 4:32 PM