Adrian Teh
Adrian Teh
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pengarah filem The Assistant, Adrian Teh memaklumkan, hanya tiga potongan sahaja dibuat oleh Lembaga Penapisan Filem (LPS) terhadap filem aksi terbaharu arahannya itu.

Menurutnya, banyak dialog yang mengandungi perkataan-perkataan kasar diluluskan kerana filem itu mendapat 'rate' tontonan untuk 18 tahun ke atas.

"Ini 'rate' 18 tahun dan ke atas, jadi. Apabila dapat 'rate' 18, kami diminta untuk potong lebih kurang 30 ke 40 potongan, saya pun tak ingat. Kami pun tak ada masalah sebab pada pandangan kami, kami okay dengan 'rate' 18 tahun dan ke atas.

"Memang filem ini, kami persiapkan sebagai filem untuk penonton 18 tahun dan ke atas juga. Tak kisah sebab itu memang sasaran kami.

"Tapi, kalau dapat 'rate' itu, kenapa nak kena potong begitu banyak? Kemudian kami berbincang lagi dengan pihak terbabit, jadi hanya tiga potongan sahaja dibuat," katanya kepada Harian Metro.

Tambah Adrian yang juga pernah mengarahkan filem-filem seperti Paskal, Wira dan Pasal Kau, setiap genre filem perlu memiliki unsur-unsur yang sesuai dan kandungan dialog dalam filem The Assistant adalah mengikut kesesuaian genrenya.

"Kalau sebelum ini, bahasa kasar, semua kena potong. Tapi, sekarang mereka pilih tiga sahaja untuk dipotong. Kalau anda dengar perkataan-perkataan kasar dalam filem itu, semuanya akan keluar (ditayangkan) sebab untuk 18 tahun dan ke atas.

"Setiap genre filem kena ada unsur-unsur yang tertentu. Macam filem ini, sesuai dengan genrenya, ia perlu ada unsur-unsur keganasan begini, perlukan benda yang seperti tepat ke muka.

"Pada saya, saya tak mahu terlalu banyak permainan dengan darah macam sesetengah filem, sampai ada nampak tulang patah sampai terkeluar," katanya.

Filem The Assistant membariskan barisan pelakon hebat antaranya Iedil Putra dan Hairul Azreen sebagai teraju utama dan akan ditayangkan di pawagam bermula 19 Mei 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2022 @ 1:27 PM