PROGRAM keagamaan bincang topik kehidupan diadakan secara santai.
PROGRAM keagamaan bincang topik kehidupan diadakan secara santai.
Syafil Syazwan Jefri


PROGRAM keagamaan yang disampaikan secara santai, Borak Dulu Baru Buka (BDBB) pantas mencuri perhatian penonton.

Bukan sahaja dalam kalangan penonton beragama Islam, BDBB turut mendapat perhatian daripada penonton bukan Islam memandangkan topik yang dibincangkan adalah secara santai.

Menggandingkan tiga pengacara iaitu Amin Idris, Khir Rahman dan Wany Hasrita yang berjaya menghasilkan satu kolaborasi yang benar-benar utuh dalam menyampaikan informasi buat penonton.

Bagi Amin, setiap daripada mereka punya kekuatan masing-masing dalam menjayakan program yang bersiaran sepanjang Ramadan di TV1 jam 7 malam pada setiap hari ini bermula 2 April lalu hingga 2 Mei depan dan pada 3 Mei depan, akan bersiaran episod istimewa bersempena Aidilfitri.

"Program ini secara asasnya program agama, namun ia bukan program agama yang tipikal, sebaliknya lebih bersifat santai.

"Ia boleh dilihat jelas menerusi ketiga-tiga pengacaranya iaitu saya, Khir dan Wany. Kalau kita lihat kepada karakter Khir, dia lebih bersahaja dan kelakar, namun ada sisi seriusnya.

"Wany pula bukan sekadar 'bunga hiasan', sebaliknya ada peranannya yang tersendiri sebagai pengacara bersama," kata Amin yang memberitahu kandungan diangkat dalam program BDBB juga membincangkan mengenai cara kehidupan.

PROGRAM BDBB dikendalikan tiga pengacara, Amin, Khir dan Wany.
PROGRAM BDBB dikendalikan tiga pengacara, Amin, Khir dan Wany.

Bagi Khir pula, dia menggambarkan program BDBB sebagai program yang 'melampaui pemikiran manusia'.

"Kenapa saya gelarkannya begitu? Sebab kita boleh sahaja merancang nak buat apa-apa program, termasuk program yang mungkin luar dari kota pemikiran.

"Tapi, dalam hati saya, saya ada rasakan bahawa program ini sangat istimewa dan dekat di hati saya," katanya.

Sementara itu, Wany pula menggambarkan program ini sebagai program ilmu yang mencukupi dari segala aspek.

"Dengan pengacara yang datang dari pelbagai latar belakang, kami masing-masing saling melengkapi antara satu sama lain.

"Jika tahun lalu, tugas saya lebih kepada 'pembuat kopi', tahun ini 'pangkat' saya dinaikkan sebagai pengacara bersama dan saya masih dalam proses untuk belajar selok-belok dunia pengacaraan," katanya.

Bagi Penerbit BDBB, Abdul Rah'man Mahadi yang menerbitkan program ini sejak musim pertama menyimpan hasrat untuk menjadikan program ini sebagai wajah Ramadan RTM.

Menurutnya, ia adalah salah satu usaha pihaknya untuk menunjukkan bahawa BDBB adalah program yang akan diingati setiap kali tiba Ramadan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 6:48 AM