KHIR memberi arahan kepada barisan pelakon ketika di lokasi.
KHIR memberi arahan kepada barisan pelakon ketika di lokasi.
Sudirman Mohd Tahir

Pelakon, pelawak, penyanyi, penulis skrip dan pengarah berkaliber, Khir Rahman bukan nama asing di persada seni tanah air.

Bakatnya dalam arena komedi juga semakin terserlah dan lebih membanggakan apabila berjaya dinobatkan sebagai juara menerusi kumpulan JBORN di pentas Muzikal Lawak Superstar (2019).

Istimewa buat peminat dan penonton yang sentiasa menantikan hasil kreatif bintang hebat ini, Astro Shaw membawakan filem komedi terbaharu arahan Khir Rahman, terbitan Excellent Pictures Sdn Bhd, Arwah Pak Mat, Lif & AJK di saluran Astro First bermula esok.

Apa yang menarik, filem ini membariskan pelakon dan pelawak terkenal tempatan dalam mendukung watak utama antaranya Joey Daud, Ropie, Taukeh Jambu, Jalil Hamid, Anas Ridzuan, Man Raja Lawak, Sathia, Douglas Lim, Wan Gegau, Nizam Jentik-Jentik, Souya, Che Mat, Kimmy Low, Shendo Kiut, Shiela Mambo dan Wafariena.

Menerusi filem ini, penonton bakal menyaksikan sisi berbeza Joey Daud menerusi watak Nordin. Walaupun filem ini ditampilkan dalam genre komedi, namun penyampaian watak Nordin dilihat lebih serius.

Khir berkata, filem ini adalah karya yang diarahkan selepas 10 tahun tidak muncul dengan genre itu.

"Selepas 10 tahun saya kembali dengan filem arahan terbaharu. Kali ini saya tampilkan karya bergenre komedi satira yang padat dengan komedi serta jalan cerita yang santai.

"Istimewanya naskhah ini saya cuba mengangkat mengenai nilai hidup komuniti dan ada pengajaran yang cuba disampaikan. Antaranya mengingatkan kesedaran mengenai hidup majmuk dan mengambil berat mengenai jiran tetangga.

"Dalam keadaan masyarakat sekarang ini, sentiasalah bersapa dan membantu antara satu sama lain agar tiada yang rasa keseorangan. Saya harap kehadiran filem ini mampu menarik perhatian penonton untuk terus kekal di rumah dan menikmati hiburan filem ini bersama keluarga mahupun orang terdekat," katanya.

Sementara iu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, filem ini diharap dapat memberi hiburan sepanjang berada di rumah.

"Dalam situasi negara sekarang ini, penonton banyak menghabiskan masa di rumah dan kami yakin mereka inginkan filem yang mampu membuatkan mereka keluar seketika dari tekanan dan berhibur serta ketawa bersama keluarga mahupun teman.

"Memahami kehendak penonton, kami terus memainkan peranan dengan membawakan filem dengan pelbagai genre dalam memberi pilihan kepada mereka, dan satu daripadanya adalah jalan cerita yang santai dengan menyelitkan elemen komedi untuk tontonan.

"Bukan itu saja, kami di Astro Shaw juga sentiasa berusaha menyediakan dan mengetengahkan bakat kreatif tempatan untuk ditonjolkan. Kali ini kami membawakan karya bintang berbakat besar, Khir untuk dipersembahkan kepada umum. Kami berharap kelainan dan sentuhan Khir yang tersendiri turut mampu memberikan kepuasan berbeza kepada penonton," katanya.

ANTARA babak menarik yang terdapat dalam filem berkenaan.
ANTARA babak menarik yang terdapat dalam filem berkenaan.

Filem ini mengisahkan mengenai Nordin (Joey Daud), seorang pekerja kilang yang menjaga bapanya dan tinggal bersama di flat Seri US di tingkat 25.

Apabila penduduk flat sedang meriah melangsungkan pemilihan presiden dan ahli jawatankuasa (AJK) untuk musim baru, mereka dikejutkan dengan kematian bapa Nordin.

Keadaan bertambah kecoh selepas lif di flat itu rosak dan perlu mengambil masa yang lama untuk dibaiki.

Jadi, Nordin dengan bantuan penduduk flat harus membawa turun jenazah bapanya menggunakan tangga.

Pelbagai cabaran danhalangan mereka perlu tempuhi namun hidup berkomuniti menyatukan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 6:31 AM