UNTUK rawatan lutut, Klinik Dr Hasbi menyediakan tiga jenis kaedah iaitu suntikan gel pekat (sumber haiwan), rawatan PRP dan stem cell untuk kelegaan dan keberkesanan.
UNTUK rawatan lutut, Klinik Dr Hasbi menyediakan tiga jenis kaedah iaitu suntikan gel pekat (sumber haiwan), rawatan PRP dan stem cell untuk kelegaan dan keberkesanan.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Puchong: Teknik rawatan berbeza dan mempunyai kadar kejayaan lebih tinggi dalam membantu pesakit yang mengalami masalah lutut menjadikan Klinik Dr Hasbi sentiasa menjadi tumpuan pesakit, bukan saja dari Malaysia, bahkan dari Singapura, Brunei dan Indonesia.

Pengasasnya, Dr Hasbi Harun berkata, pengalamannya 21 tahun dalam mengendalikan rawatan lutut digunakan sebaik mungkin untuk membantu pesakit menjalani rawatan lutut tanpa pembedahan.

Beliau berkata, pengalaman menyuntik gel, PRP (Platelet Rich Plasma) dan stem cell yang tepat pada bahagian dalam lutut digunakan sebaiknya untuk membantu pesakit yang mengalami masalah osteoartritis tahap satu hingga empat dan memberi kelegaan maksimum.

Katanya, disebabkan permintaan semakin meningkat, pihaknya kini dalam proses membina Hasbi Healthcare Centre (HHC).

"Pembinaannya sekarang sudah 30 peratus dan jika mengikut perancangan, HHC dijangka siap menjelang Disember ini atau awal tahun depan (2025).

"Pusat kesihatan itu kelak mempunyai empat tingkat yang menempatkan pelbagai bahagian yang bukan saja menumpukan rawatan lutut, malah perkhidmatan bersunat secara clamp menggunakan peralatan yang dicipta sendiri oleh Dr Hasbi.

"Kami akan menambah bilangan doktor dan bilik rawatan selain menyediakan unit fisioterapi," katanya.

Menurutnya, HHC yang akan dibuka di Damansara itu bakal menjadi pusat yang menawarkan semua perkhidmatan kesihatan berkualiti di bawah satu bumbung dan pada harga berpatutan.

Dr Hasbi berkata, pihaknya memperuntukkan kos lebih RM6 juta bagi membangunkan HHC termasuk pengubahsuaian, mesin rawatan, peralatan serta mesin x-ray.

Beliau berkata, sejak ditubuhkan pada 2018, 80 peratus pelanggan yang mendapatkan rawatan lutut di Klinik Dr Hasbi berumur 60 tahun ke atas dan dari seluruh Malaysia, dengan ada juga dari luar negara

"Untuk rawatan lutut, kami menyediakan tiga jenis kaedah iaitu suntikan gel pekat (sumber haiwan), rawatan PRP dan stem cell untuk kelegaan dan keberkesanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 8:16 AM