WAN Kamarudin Wan Ibrahim.
WAN Kamarudin Wan Ibrahim.
Oleh Nor Akmar Samudin


Masyarakat sekarang mula ‘mencari’ dan cuba memahami agamanya, namun dalam pencarian itu dibimbangi mereka mendapat maklumat yang salah kerana terlalu ramai manusia yang mengambil kesempatan dan keuntungan peribadi.

Lantaran itu, dikhuatiri manusia itu terus hanyut dalam pencarian itu, mesti ada garis panduan agar mereka tidak ‘lari’ daripada ketetapan yang sudah Allah SWT gariskan.

Sehubungan itu, bagi melunaskan tanggungjawab sesama manusia untuk saling mengingati dan mempelajari agama Islam yang menetapkan panduan dan cara hidup yang benar di sisi Allah SWT, penerbit dan pengacara, Wan Kamarudin Wan Ibrahim menerbitkan program Tabayyun (Merintis Pencerahan).

Program itu bersiaran sejak 7 Oktober 2015 di Astro Oasis. Berikutan sambutan yang kian meningkat terutama dalam kalangan penonton muda, Tabayyun disambung untuk musim baru sebanyak 52 episod lagi yang dijangka berakhir pada Februari 2017.

Tabayyun akan bersiaran secara langsung setiap Jumaat, jam 9 malam di Astro Oasis dan serentak di Maya HD.

Setakat ini antara isu yang dibincangkan ialah kekeluargaan, pengurusan harta umat Islam seperti faraid, waqaf, wasiat dan hibah, sara hidup dan memperkasa ekonomi orang muda.

Cabaran musim pertama, kata Wan Kamarudin atau mesra dipanggil Wan K, penonton tidak faham maksud tajuk ‘Tabayyun’ yang diilhamkan oleh Pengurus Saluran Astro Oasis, Ahmad Fuad Mat Ali yang diambil daripada surah Gujrat ayat keenam.

“Bagaimanapun selepas saban minggu bersiaran, penonton semakin dapat memahami format program yang memberi pencerahan dalam setiap isu yang berlaku dalam masyarakat.

“Bagi mendekatkan penonton muda kepada program ini, diskusi saya bersama dua panel iaitu ustaz atau ustazah dan ahli akademik atau mereka yang berkaitan isu yang diperkatakan, cara penyampaian diolah dalam bentuk santai.

“Saya yang dikatakan berwajah serius juga berdiskusi dalam gaya lebih relaks, begitu juga dengan ahli panel. Saya juga ‘meletakkan’ diri saya sebagai orang awam yang mahu tahu mengenai agama kerana hakikat­nya saya sendiri bukan ustaz atau ahli agama.

“Oleh itu, banyak perkara saya sendiri tidak tahu dan tidak pasti jalan penyelesaiannya. Saya akan bertanya apa yang orang ramai mahu tahu dan pada masa sama, mereka juga boleh berhubung terus dengan panel menerusi panggilan telefon dan Facebook (Tabayyun) dan setiap soalan dijawab terus oleh ahli panel.

“Bagi mendapatkan pelbagai pandangan dan pendapat, setiap minggu kami tampilkan ahli panel yang berbeza kerana ilmu agama itu sangat luas.

“Isu yang dipilih juga mesti relevan dengan orang muda dan dirungkai dengan cara yang mudah difahami. Jangan bagi anak muda ini terus berfikir kerana perkara yang memberatkan perasaan dan minda mereka hanya akan terus membuatkan mereka jauh daripada agama,” katanya.

Jumaat ini, Tabayyun mengupas isu pendidikan Islam yang kini terdapat pelbagai sekolah seperti tahfiz dan ‘pondok’ sehingga ibu bapa menjadi keliru untuk memilih yang mana satu terbaik untuk anak mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2016 @ 10:31 AM