Noorkhiriah
Noorkhiriah
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pelakon Noorkhiriah Ahmad Shapie, 44, yang sebelum ini akan menolak untuk bercerita mengenai kerja amal dilakukan, akhirnya sudi berkongsi perkara  baik yang diusahakan bersama suami, Azfaizul Ahtan di bawah Pertubuhan Amal Nur By Khiriah miliknya.

   Khiriah yang ditemui Harian Metro berkata, kerja-kerja amal dilakukan sejak dua tahun lalu itu bermula selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dilaksana pada Mac 2020.

    "Sebenarnya kereta Starex saya dah habis bayar. Nak jual sayang, jadi saya tanya suami apa patut buat. Dia kata jom buat van jenazah. Saya pandang dia dan tak sangka pun akhirnya jadi kenyataan.

   "Apapun, saya gembira atas sokongan ramai pihak terhadap ikhtiar yang dilakukan ini dan yakin atas rezeki Allah yang sentiasa ada untuk kami terus membantu mereka yang memerlukan.

   "Syukur alhamdulillah, orang kita memang bermurah hati. Ada yang memberikan pujian, bantuan dan sebagainya," katanya.

   Menurut Noorkhiriah, untuk pihaknya dia tidak melakukan apa-apa pun kerana semua itu dibuat oleh suaminya dan pasukan mereka.

   "Saya hanya bantu dari segi perkongsian di Instagram dengan memberitahu usaha ini dilakukan secara percuma buat golongan muslim dari awal hingga selesai pengurusan jenazah.

   "Ia dilakukan kepada semua peringkat usia jenazah termasuk bayi baru lahir. Malah, ada juga kes yang mana bahagian kaki dipotong akibat kencing manis juga kami bantu uruskan," katanya.

  Khiriah berkata, kini mereka mempunyai empat van jenazah iaitu dua milik sendiri dan dua lagi hasil infak masyarakat. 

 "Saya nak terus istiqamah meneruskan usaha ini dan apa yang dilakukan cukup menginsafkan. Urusan jenazah yang diterima tak menentu, ada empat kes sehari dan kadang-kadang tiada langsung. 

  "Bagaimanapun, suami saya juga pernah menguruskan jenazah yang empat tahun tersimpan dalam peti mayat kerana dipercayai tiada waris," katanya.

   Menurutnya, ada juga kes kematian individu pada usia muda yang secara tidak langsung menyentuh perasaan. Katanya, bayangkan ada yang masa pergi kerja, sihat dan kemudian meninggal mengejut dengan pakaian kerja.

   "Ada juga yang bertanya saya, kenapa buat usaha ini dan tak lakukan perkara lain. Jujurnya, saya tiada jawapan. Awalnya, suami saya hanya hantar jenazah ke tanah perkuburan saja. 

  'Kemudian ada juga kes dia sama-sama terlibat dalam proses mandi, kafan, solat dan hantar jenazah ke tanah kubur. Suami pun ada kata, moga ramailah waris jenazah hubungi kami kerana nak belanjakan wang yang ada, sebab ia amanah orang," katanya. 

   Noorhiriah berkata, walaupun pihak mereka mendapat panggilan sekitar jam 2 pagi atau jam 3 pagi pun suaminya bersama lima 'orang kuat' yang menggerakkan pertubuhan itu tetap akan pergi menguruskan jenazah berkenaan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Februari 2022 @ 4:09 PM