Perkongsian Noorkhiriah di media sosial
Perkongsian Noorkhiriah di media sosial
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Van jenazah milik pelakon yang juga pengasas Pertubuhan Amal Nur by Khiriah, Noorkhiriah Mohd Shapie, terbabit dalam kebakaran, malam semalam.

Khiriah ketika dihubungi berkata, ketika kejadian, dia berada di Pulau Pinang atas urusan menghantar anaknya ke asrama.

"Berdasarkan maklumat yang saya terima, kejadian itu berlaku lebih kurang jam 9 malam.

"Van itu di parkir di kawasan rumah. Tapi, waktu kejadian itu, saya berada di Pulau Pinang sebab hantar anak ke asrama," katanya kepada Harian Metro.

Reda dengan apa yang berlaku, Khiriah turut meluahkan rasa sedih memandangkan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Hyundai Starex yang diubah menjadi van jenazah itu sangat berjasa sepanjang khidmatnya.

"Memang saya rasa sangat sedih sebenarnya sebab van jenazah itu banyak berjasa. Tapi, saya fikir, mesti ada hikmah di sebalik kejadian.

"Van itu adalah kenderaan pertama saya. Memang dah lama saya pakai sebelum ditukar menjadi van jenazah sejak lima tahun lalu.

"Dalam setahun, van itu dah menghantar lebih kurang 100 jenazah. Mujurlah ada dua lagi van yang boleh digunakan," katanya.

Ditanya sama ada kejadian itu membabitkan unsur khianat, Khiriah berkata, dia tidak terfikir sehingga ke tahap itu.

"Ada yang bertanya dan bercakap kepada saya, seandainya insiden itu ada unsur khianat. Tapi, saya tak adalah terfikir sampai ke tahap itu.

"Lagi pun, apa yang orang nak khianatnya sebab itu van yang digunakan untuk menghantar jenazah sahaja.

"Mungkin disebabkan cuaca panas sekarang atau kerosakan teknikal kerana dah bekerja lama menyebabkan berlakunya insiden ini," katanya.

Mengalami kerosakan kritikal terutamanya bahagian ruang enjin yang hangus, Khiriah masih ingin cuba memperbaiki kerosakan itu sekiranya boleh.

"Ada juga kawan-kawan dan kenalan yang nak sumbangkan duit sebab saya nak cuba perbaiki kerosakan akibat kebakaran itu.

"Tapi, saya cakap tunggu dulu sebab biar pihak insuran teliti terlebih dahulu. Saya takut nanti kalau apa-apa berlaku sebab ini berkaitan duit sumbangan orang," katanya.

Kebakaran itu berjaya dikawal dengan kerjasama kawasan kejiranan, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Unit Polis Peronda.

Pertubuhan Amal Nur by Khiriah menyediakan khidmat pengurusan dan penghantaran jenazah secara percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 4:16 PM