Noorkhiriah.
Noorkhiriah.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Pelakon, Noorkhiriah Ahmad Shapie, 47, tidak marah sebaliknya mengambil positif terhadap komen seorang pengguna media sosial yang mendakwa dia sudah meninggal dunia dan kebaikan 'ditinggalkannya' perlu dicontohi.

Noorkhiriah berkata, dia amat bersyukur kerana masih lagi hidup serta bertekad memastikan sisa-sisa kehidupan yang ada itu tidak disia-siakan untuk dirinya terus istiqamah.

"Akak hidup lagi dik, baru lima hari tak 'post' (buat hantaran) apa-apa, awak dah 'arwah' kan akak. Besar juga harapan akak dengan umur yang tinggal ini, akak tak sia-siakan lagi.

"Tak apa, jangan marah andai dia (pengguna media sosial itu) silap tulis, dah itu memang akan jadi kenyataan nanti (mati), 'chill' (santai) saja," tulisnya pada perkongsian hantaran di Instagram.

Pelakon drama Nur dan Nur 2 itu turut memuji tahap keyakinan pengguna media sosial berkenaan yang disifatkan cukup tinggi dan mungkin komen yang ditulisnya itu berniat baik.

"Komen-komen kalian buat akak terhibur, mohon maaf tak dapat balas satu-satu. Apapun, sama-samalah kita memaafkan satu sama lain. Semua kita bakal jenazah.

"Semoga Allah terima taubat dan semua amal ibadat kita, Insya-Allah," katanya juga pengasas Pertubuhan Amal Nur by Khiriah yang menyediakan perkhidmatan pengurusan jenazah secara percuma bagi membantu keluarga memerlukan.

Meninjau juga di ruangan komen, rata-rata netizen mendoakan Noorkhirah dipanjangkan usia dan keluarganya mendapat perlindungan daripada Allah.

"Ya Allah, panjangkan umur kak Khiriah," tulis seorang warganet.

"Semoga Allah SWT berkata kehidupan Khiriah dan keluarga di dunia dan akhirat..amin," komen netizen.

"Ya Allah, terkejut kita dengan surah Al-Fatihah lagi," ujar seorang wargamaya.

Noorkhiriah yang kini masih aktif berlakon mendirikan rumah tangga dengan Azfaizul Ahtan sejak 18 tahun lalu dan dikurniakan tiga anak iaitu Muhammad Hudhaifah, 15; Muhammad Yusoff, 13; dan Nur, 6.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 11:24 AM