Noorkhiriah
Noorkhiriah
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pelakon berkaliber Noorkhiriah Ahmad Shapie, 44, bersyukur selepas 20 tahun berada dalam industri, baharulah merasa bergelar duta produk.

   Ia berikutan pemenang Pelakon Wanita Terbaik (Drama) Anugerah Skrin 2010 ini mendapat kepercayaan dari pengeluar jus kesihatan "Alwiqoyah" dan 'G-Asfal' iaitu Vieura Group Sdn Bhd yang melamarnya sebagai duta produk mereka.

   Noorkhiriah berkata, dia tidak sangka pada usianya sekarang masih mendapat kepercayaan menjadi duta produk.

   "Saya sebenarnya rasa terharu kerana pada usia sekarang orang masih buka rezeki. Inilah rezeki saya sebenarnya. Mungkin rezeki 'shooting' tak rancak seperti dulu tapi ada saja rezeki lain datang.

   "Dalam ramai-ramai orang, saya yang terpilih dan ia amat mengujakan. Mungkin pemilihan ini disebabkan nama saya dekat dengan acik-acik (makcik) di kampung. 

   "Kontrak saya akan berjalan selama setahun bermula 1 Februari tahun ini," katanya. 

   Menurut Noorkhiriah, pada peringkat usianya sekarang, dia reda menjalani kehidupan dan menyerahkan soal rezeki kepada Allah SWT.

   "Kalau Allah tak bagi pun mungkin ada sebab lain. Saya pun selalu minta kepada-Nya kalau benda ini baik, dekatkanlah dan kalau tak baik jauhkan dan ganti dengan yang baik.

   "Saya pun dah tak terfikir langsung mengenai duta produk ini. Masa mereka melamar pun, saya beritahu suami dan dia kata okey.

   "Bagi kami, memang okey saja kerana sebelum ini pun sama dan biasanya selepas itu diam. Tapi, pihak ini menunjukkan kesungguhan apabila mengajak saya berbincang lebih serius.

  "Saya pun tak letakkan harga sebaliknya atas mereka sendiri. Bagi saya, harga yang ditawarkan sudah berbaloi. Namun, jika sebaliknya saya akan cakap dan mereka pun boleh bertolak ansur. Itu yang saya nak," katanya. 

   Noorkhiriah berkata, dia sebenarnya mempunyai rasa 'malu' dan segan untuk meletakkan tanda pagar duta di Instagramnya.

   "Semacam ada perasaan begitu (malu) pada saya sekarang. Tapi, ini adalah kenyataan. Suami pun gembira dengan pencapaian saya sekarang.

   "Katanya mana yang baik dia sokong. Cuma dia minta agar saya jaga nama baik saya dan dia kerana nanti namanya juga turut sama terpalit," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Februari 2022 @ 3:45 PM