GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Subang Jaya: Lelaki ditahan di kafe di Bandar Sunway, di sini, semalam, dipercayai terbabit dengan pertaruhan bagi perlawanan bola sepak Euro 2024.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, tangkapan terhadap suspek berusia 19 tahun itu dibuat sepasukan anggota Balai Polis Bandar Sunway pada 12.50 tengah malam.

Katanya, pihaknya merampas telefon bimbit kerana mempunyai aktiviti perjudian membabitkan Piala Euro 2024.

"Suspek direman tiga hari bermula semalam hingga 5 Julai untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 (Akta 495)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Azlan berkata, sebanyak lapan serbuan dilakukan di daerah ini bermula 14 Jun lalu sehingga semalam di bawah Op Soga X sempena Euro 2024.

"Hasil serbuan itu, kami berjaya menahan sembilan individu bersama rampasan sembilan telefon bimbit pelbagai jenama yang mempunyai aktiviti perjudian.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 (Akta 495) dan kesalahan imigresen di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155)," katanya.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak terbabit dengan kegiatan judi tanpa lesen sah dan mereka yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya ke Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627222.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 4:28 PM