Norkhiriah
Norkhiriah
Norhayati Nordin

 

Kuala Lumpur: "MasyaAllah, seronok tengok muka cik suami. Puas dapat membantu, sayang papa," demikian kata semangat pelakon Noorkhiriah Ahmad Shapie kepada suami tercinta, Azfaizul Ahtan selepas selesai melakukan fardu kifayah terhadap tiga jenazah tanpa waris, baru-baru ini.

Noorkhiriah, 45, menerusi perkongsian video berdurasi satu minit, 36 saat di Instagram memaparkan suaminya bersama beberapa sukarelawan dari Pertubuhan Amal Nur by Khiriah melakukan urusan mengkafan, solat dan seterusnya membawa jenazah terbabit ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.

"Tiga jenazah tanpa waris. Hampir setahun dalam peti mayat selesai diuruskan. Alhamdulillah, semoga Allah membalas segala kebaikan kalian, team (pasukan) Pertubuhan Amal Nur by Khiriah.

"Al-Fatihah. Pertubuhan Amal Nur by Khiriah buat secara percuma untuk semua saudara seislam, tak kira bangsa. InshaAllah, kami bantu kerana Allah Taala," tulisnya pada kapsyen video itu.

Terdahulu, Noorkhiriah bersama suami menubuhkan pertubuhan amal terbabit sejak fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 pada 2020 lalu, bagi tujuan membantu menguruskan jenazah kerana ia tanggungjawab murni yang dituntut kepada orang Islam masih hidup melakukannya.

"Dalam urusan pengurusan jenazah ini, saya hanya bantu dari aspek perkongsian dan hebahan melalui Instagram, itu saja. Saya tak buat apa-apa yang lain pun. Tapi, suami dan pasukan kerjanya yang selalu mara ke depan.

"Tugas saya, hanya bantu dengan sering memaklumkan usaha ini dilakukan secara percuma buat golongan sasaran iaitu Muslim yang memerlukan dari awal hingga selesai pengurusan jenazah. Malah, khidmat dilakukan untuk semua peringkat usia jenazah," katanya yang ditemui, baru-baru ini.

Menerusi perkhidmatan amal disediakan Pertubuhan Amal Nur by Khiriah, hingga kini difahamkan sudah memiliki empat van jenazah untuk digunakan hasil sumbangan daripada orang ramai yang prihatin menghulur bantuan.

Noorkhiriah juga memaklumkan semua kerja amal dilakukan itu secara tidak langsung membuatkan dia sentiasa berusaha memastikan dirinya terus istiqamah, termasuk selalu mengingati kematian yang disifatkan semakin menghampiri.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 January 2023 @ 7:46 PM