Oleh Shakilawati Abd Rahman

Istilah bersara atau berundur dari dunia lakonan tidak pernah difikirkan pelakon berbakat, Noorkhiriah. Bagaimanapun, akuinya, kini sampai masanya untuk memperlahankan rentak kerana pendapatannya bukan hanya bergantung pada tawaran berlakon semata-mata tetapi kini dia ada pilihan.

Noor kini membuka butik mini menjual barangan Muslimah serta kelengkapan haji dan umrah di Tesco Mutiara Damansara bermula hari ini. Bermula dengan suka-suka, siapa sangka dia kini memiliki premis niaga diberi nama Nur By Khiriah.

Berkongsi khabar gembira itu, pelakon air mata ini tidak henti-henti melafazkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana memakbulkan doanya ketika mengerjakan umrah, pertengahan tahun lalu.

Noor bersyukur kerana doanya supaya dipertemukan dengan cabang rezeki baru diperkenankan Allah.

"Selepas dua bulan pulang dari umrah, saya tergerak hati ikut Yatt Hamzah, Azza (Elite), Hana dan ramai lagi rakan artis berniaga.

"Kalau ikutkan, sudah lama saya teringin tetapi tidak berpeluang dan tidak tahu bagaimana mahu mula. Nak dijadikan cerita, Azza dan Yatt ajak saya berniaga di satu acara yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

"Saya berkongsi dengan kawan baik, Hana untuk sewa gerai, kemudian menyertai Halfest 2014 pula dengan menjual kelengkapan umrah dan haji.

"Berikutan sambutan memberangsangkan, saya makin seronok dan Azza saran saya sewa tapak di Busana Mall. Dari sehari ke sehari permintaan semakin banyak," katanya.

Selepas enam bulan berniaga secara kecil-kecilan, akhirnya Noor dan suami berjaya mengumpul modal untuk membuka butik mini.

Meskipun premis itu kecil, Noor anggap ia permulaan baik untuknya berkecimpung dalam dunia perniagaan dengan lebih serius.

"Malu nak sebut butik mini sebab premis ini kecil saja. Apapun, saya bersyukur kerana usaha ini dipermudahkan Ilahi. Rasa seperti bermimpi apabila ada kedai sendiri, walaupun tak besar, okeylah sebagai permulaan.

"Suamilah penyemarak semangat saya. Dia yang menghias kedai dan pecah kepala fikir itu, ini. Koleksi jubah Nur By Khiriah dia yang reka dan saya pula reka tudung," kata ibu kepada dua cahaya mata ini.

Noor mengalu-alukan kehadiran pelanggan di butik mininya, hari ini kerana setiap barangan dijual dengan harga istimewa. Malah, 20 pengunjung terawal akan menerima tudung percuma sebagai tanda penghargaan.

Katanya, dia perlu membahagikan masa dengan sebaik-baiknya antara lakonan dan perniagaan selain melaksanakan komitmen sebagai isteri dan ibu.

"Rezeki (perniagaan) ini datang tepat pada masanya. Saya pun bersedia menceburi cabang baru dan ia boleh menjadi pengganti apa yang saya buat sebelum ini.

"Bukan bermakna saya tidak mahu berlakon lagi, cuma sekarang boleh memilih berdasarkan kesesuaian watak dan jalan cerita.

"Lagipun, tawaran selepas berhijrah tidak sekencang dulu. Kalau dulu sebulan ada dua tiga projek, sekarang hanya satu atau dua. Penerbit pun ada banyak pilihan, apatah lagi kini ramai pelakon berhijab," katanya yang baru selesai penggambaran filem terbaru arahan M Subash, Iblis Bertopeng.

Bercerita lanjut mengenai filem Iblis Bertopeng, Noorkhiriah berkata, ia pengalaman yang sangat menarik, apatah lagi cara kerja M Subash mengingatkannya kepada arwah Yasmin Ahmad.

Katanya, filem ini mengupas keperitan isteri yang menjadi mangsa penderaan emosi. Hanya watak Noor yang boleh nampak secara fizikal di layar, manakala karakter lain hanya suara dan tidak nampak wajah.

"Meskipun sudah biasa menghidupkan watak wanita teraniaya, pengalaman kali ini sedikit berbeza. Malah, ia menuntut saya bekerja lebih keras depan kamera.

"Dalam satu babak, suami muntah di muka saya apabila dia mabuk. Ketika itu wajah saya langsung tak ada reaksi marah atau sedih, sebaliknya perlahan-lahan lap muntah itu.

"Pendek kata, watak lakonan saya sentiasa reda dengan dugaan berat itu dan ia bukan sesuatu yang mudah untuk dizahirkan. Namun, pendekatan Subash yang tidak jauh berbeza dengan arwah Yasmin banyak membantu saya di lokasi, sekali gus memberi 'mood' untuk menjiwai watak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Februari 2015 @ 5:00 AM