TERTUDUH mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan pemalsuan dokumen membabitkan penjualan empat lot tanah milik syarikat di Kuala Perlis bernilai RM8 juta, enam tahun lalu. FOTO Zuliaty Zulkiffli
TERTUDUH mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan pemalsuan dokumen membabitkan penjualan empat lot tanah milik syarikat di Kuala Perlis bernilai RM8 juta, enam tahun lalu. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Bekas pengarah sebuah syarikat di Perlis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan pemalsuan dokumen membabitkan penjualan empat lot tanah milik syarikat terbabit bernilai RM8 juta, enam tahun lalu.

Tertuduh Yong Kok Wah, 47, bagaimana mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali.

Mengikut pertuduhan pertama, Yong berasal dari Kuala Kedah, didakwa menggunakan dokumen palsu bertajuk Friendly Loan milik syarikat Oceanpro Industries Sdn Bhd di sebuah pejabat firma guaman di Seberang Jalan Putra di sini, pada 12 Ogos 2018.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menggunakan dokumen palsu bertajuk Disposal of Property bagi syarikat itu pada lokasi dan tarikh sama.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim dan tertuduh diwakili peguam, Hamdan Hamzah.

Noor Zaihan Mohamad Ali kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM6,000 bagi setiap pertuduhan dan mengarahkan kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kangar.

Di Mahkamah Sesyen berasingan, Yong mengaku tidak bersalah turut didakwa atas dua lagi pertuduhan membabitkan pemalsuan dokumen syarikat di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.

Tertuduh didakwa menggunakan dokumen palsu syarikat Fuxing Enterprise (Malaysia) Sdn Bhd yang bertajuk Friendly Loan dan Disposal of Property pada 12 Ogos 2018.

Jean Sharmila kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM12,000 ke atas tertuduh selain mengarahkan kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kangar.

Tertuduh kemudian membayar wang jaminan berjumlah RM24,000 atas empat pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 4:21 PM