Suami Noorkhiriah, Azfaizul (baju hitam) mengutip sampah di SNBJ selepas perlawanan bola sepak Piala AFF, baru-baru ini.
Suami Noorkhiriah, Azfaizul (baju hitam) mengutip sampah di SNBJ selepas perlawanan bola sepak Piala AFF, baru-baru ini.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Pelakon Noorkhiriah Ahmad Shapie, 45, menyifatkan rakyat Malaysia mempunyai sikap keprihatinan tinggi terhadap amalan kebaikan, termasuk mengutip sampah atas inisiatif sendiri bersama-sama di kawasan awam.

Ia susulan tindakan suaminya, Azfaizul Ahtan yang dilihat sanggup mengutip sampah di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) selepas selesai perlawanan Malaysia dengan Singapura dan Thailand pada kempen Piala AFF, baru-baru ini yang tular di media sosial.

"Suami memang suka buat kerja-kerja sukarelawan seperti pembersihan ini di mana-mana saja dan tidak sesekali pun kami mengharapkan pujian daripada orang ramai. Apapun, saya melihat kita sebagai rakyat Malaysia, masih ramai yang baik-baik dan peka terhadap menjaga kebersihan di tempat awam.

"Cuma, kena ada orang yang memulakan langkah dulu untuk menjadi ikutan oleh orang lain. Saya gembira dan bersyukur, apa yang dilakukan oleh suami itu dapat menarik penonton lain di stadium untuk membantu mengutip sampah bersama-sama.

"Tapi, saya mohon jangan terus memuji-muji apa yang dilakukan kerana kami tidak selesa. Kami hanya mahu semua orang prihatin dan saling membantu membersihkan kawasan awam dari sampah-sampah selepas menyaksikan satu-satu acara atau perlawanan sukan. Itu saja," katanya.

Noorkhiriah berkata, dia mengucapkan terima kasih kepada semua yang menerima baik tindakan suaminya ketika mengutip sampah itu.

Sebelum ini, Noorkhiriah dan suami terbabit mengendalikan kerja amal pengurusan jenazah secara percuma di bawah Pertubuhan Amal Nur By Khiriah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa Satu, dua tahun lalu.

Pelakon drama rantaian Nur ini mengakui tidak menyangka usaha dilakukan suaminya itu semakin mendapat sambutan baik apabila turut menjadi penggerak operasi khidmat pengurusan jenazah berkenaan.

"Saya hanya bantu dari aspek perkongsian dan hebahan melalui Instagram. Itu saja dan saya tak buat apa-apa pun. Tapi, suami dan pasukan kerjanya yang lebih ke depan.

"Saya sering memaklumkan usaha ini dilakukan secara percuma buat golongan sasaran iaitu Muslim dari awal hingga selesai pengurusan jenazah. Malah, khidmat dilakukan untuk semua peringkat usia," katanya memaklumkan pertubuhan kini memiliki empat van jenazah untuk digunakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 4:54 PM