Penyanyi, Datuk Awie. FOTOROHANIS SHUKRI
Penyanyi, Datuk Awie. FOTOROHANIS SHUKRI
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi, pelakon dan penerbit, Datuk Awie mengakui 'semak' dengan sikap pembantu rumah yang kerap melarikan diri.

   Paling terbaru, pembantu rumahnya berusia awal 20-an mengambil tindakan sama dan ini membuatkan dia berasa sangat kecewa.

   "Ini buat saya tergerak hati nak cari pembantu rumah tempatan dan tulis di Facebook. Mana tahu, ada rezeki sebab dah banyak kali saya kena tipu dengan pembantu rumah.

   "Bayar mahal pada ejen berdaftar, kemudian pembantu rumah lari dan tikam belakang. Gilalah! Seperti kes baru-baru ini, saya dapat tangkap semula pembantu rumah yang lari itu," katanya.

   Awie, 53, berkata isterinya, Datin Sharifah Ladyana sejak awal lagi sudah menghubungi pembantu rumah berkenaan dan menasihatinya jangan berbuat demikian agar tidak ditangkap pihak berkuasa.

   "Tapi dijawabnya, kalau berani tangkaplah. Aku sudah mahu pulang. Akhirnya, saya tangkap dia betul-betul di sekitar Kuala Lumpur yang taklah besar mana ini. 

   "Saya telefon kawan-kawan dan mereka mulakan misi mencari dan akhirnya terjumpa dia di Chow Kit bersama warga asing dari negara lain.

   "Saya pun tak pasti dia curi barang atau tidak. Tapi, sikapnya tak baik apabila dia sanggup masukkan kepala dan badan ikut jeriji besi untuk lari. Malah, dia tinggalkan dua anak saya di tingkat atas," katanya.

   Menurut Awie, dia memerlukan pembantu rumah bagi menguruskan kediamannya terutama selepas isterinya melahirkan anak mereka, Putra Ahmad Andika, yang kini berusia dua bulan. 

   "Saya jenis tak bercakap dengan pembantu rumah, tapi lebih senang anggap sebagai anak angkat. Dia pun tak dibanding-bandingkan dengan keluarga kami. 

   "Beri makan sedap dan ketika membeli-belah pun, dia turut dibelikan pakaian jenama yang sama dengan anak saya. Tapi, sedihnya  jenis yang tak tahu bersyukur. 

  "Masa mula-mula datang, nampak naif saja. Tiba-tiba dalam bilik, dia buat TikTok pakai baju Wings 30 Tahun dan isteri saya yang perasan," katanya.

   Awie mengakui mulanya dia risau juga budaya berkenaan dibawa kepada anak-anaknya. Bagaimanapun, dia bersyukur mereka tidak terikut-ikut dengan perangai pembantu rumah itu. 

   "Hari-hari dia buat TikTok, dan rupanya itu cara dia menggoda lelaki asing. Apabila ditangkap, saya panggil lelaki warga asing itu datang rumah, tapi dia tak datang pula," katanya. 

   Dalam perkembangan lain, Awie kini berjinak-jinak dengan perniagaan apabila mengeluarkan produk sambal yang dihasilkan dalam empat variasi iaitu Sambal Merah, Sambal Ikan Sepat Masin, Sambal Ikan Kembung Masin dan Sambal Paru. Dia juga turut mengeluarkan produk Kambing Perap dan Ayam Perap.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 2:21 PM