Mohd bersama isteri, Nurul Asyiqin dan anak mereka. FOTO IG
Mohd bersama isteri, Nurul Asyiqin dan anak mereka. FOTO IG
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pujian ramai pihak terhadap kecantikan isterinya, Nurul Asyiqin Zaidi yang seiras pelakon Nora Danish, tidak mengubah pendirian Mohd Mentor untuk tidak menggalakkan isterinya terbabit dalam bidang seni.

   Mohd, 34, atau nama sebenarnya, Mohd Izwan Mohd Nor yang berkahwin dengan Nurul Asyiqin, 28,  hampir lima tahun lalu berkata, dia bimbang isterinya tiada masa untuk menguruskan keluarga dan anak mereka nanti.

   "Tak dinafikan, isteri saya pernah menerima tawaran berlakon daripada sebuah syarikat produksi serta pelawaan untuk menjalani sesi uji bakat.

   "Namun, dia tak berapa minat untuk berlakon. Tambahan pula saya sendiri tidaklah menggalakkan.

   "Bimbang nanti dia tiada masa untuk keluarga dan uruskan anak kami yang masih kecil. Tak bagus kalau biarkan pengasuh yang jaga dan sebagainya," katanya. 

   Mohd berkata, Nurul Asyiqin bagaimanapun sudah mempunyai pengikut sendiri menerusi akaun TikTok miliknya.

   "Dia sudah mempunyai lebih 10,000 pengikut dan banyak juga cerita dimuatkan di situ bagi dikongsi dengan masyarakat.

   "Isteri bekerja di syarikat swasta. Kalau 'viral' (yang baik-baik) membabitkan dia, saya okey saja. Ini semua rezeki… kita pun tak tahu. 

   "Mana tahu disebabkan itu dia boleh jana pendapatan sampingan dengan lakukan 'paid review' juga," katanya. 

   Mohd mendirikan rumah tangga dengan Nurul Asyiqin pada 14 Oktober 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata,  Mohd Izz Rafael Mohd Izwan, tiga tahun.

  "Kami sama-sama tinggal di sekitar Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur. Dia masih belajar ketika itu.

   "Saya memberanikan diri menegurnya dan tak sangka dia beri respon yang baik. Kami tak ambil masa lama untuk berkawan dan cepat kahwin," kata Mohd mengulas perkenalan awal mereka. 

  Selain menyanyi, Mohd kini menguruskan restoran Nasi Lemak Puakez yang dikongsi bersama komposer Iswandy Atan di Danau Kota. Ia adalah cawangan kedua mereka selepas Bemban, Melaka yang dibuka sejak tahun 2016. 

   "Syukur sambutan diterima sangat menggalakkan. Sebenarnya kami rancang untuk buka cawangan di sini sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

   "Bagaimanapun kami ambil keputusan untuk menunggu sehingga semuanya baik, baru berani untuk buka," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Februari 2022 @ 1:16 PM