Gambar pra perkahwinan di kongsi Cat Farish di media sosial.
Gambar pra perkahwinan di kongsi Cat Farish di media sosial.
Zaara Talita

 

Kuala Lumpur : Penyanyi dan komposer, Cat Farish bakal bernikah dengan kekasihnya, Shikin Maembong pada 13 Julai ini.

Kongsi Cat atau pemilik nama penuh, Farish Ramli, dia enggan menangguhkan perkahwinan memandangkan masing-masing sudah berusia.

"Gambar yang di muat naik itu adalah 'pre video' namun majlis pernikahan bakal diadakan pada 13 Julai depan manakala resepsi pula pada 15 Julai.

"Pada mulanya saya memang enggan terburu-buru untuk berkahwin semula namun tidak manis apabila sering ke sana ke mari dengan Shikin. 

"Malah, anggota Ruffedge juga menasihatkan saya untuk mempecepatkan perkahwinan. Apatah lagi, saya bakal menjengah usia 50 tahun, kami masing-masing sudah tidak muda," katanya kepada Harian Metro.

Berkongsi mengenai simbolik pemilihan tarikh, Cat memaklumkan kebetulan angka itu sama dengan usia anak perempuannya yang berumur 15 tahun.

"Tiada simbolik disebalik tarikh yang dipilih, kebetulan anak saya pun berusia 15 tahun. Bukan mudah sebenarnya hendak mendekati dan memenangi hati anak remaja namun Shikin berjaya.

"Malah, saya maklum ayoh (bapa Shikin) juga bukan mudah untuk memberi keizinan. Alhamdulillah, selepas dua kali berjumpa ayoh terus bersetuju.

"Persiapan semuanya sudah 60 peratus, cuma bahagian mengisi borang sedikit rumit namun semuanya dipermudahkan," katanya.

Cat sebelum ini berkahwin dengan Suriani Hassan, 37, pada November 2020 namun sah bercerai pada Januari lalu. Mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

Sebelum ini, Cat juga pernah berkahwin dengan Hartiny Ramli dan disahkan bercerai pada April 2016. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga anak iaitu Nia Karlyssa, 15, Eva Latheefa, 13, dan Qul Iskandar, 12.

Sementara itu, Shikin pula pernah mendirikan rumah tangga dengan Chef Riz yang juga anak kepada Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan pada 5 Disember 2014 namun bercerai pada Jun 2016.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Putri Arianna.

Shikin kemudiannya berkahwin buat kali kedua pada Mac 2020 namun rumah tangga itu hanya bertahan dua tahun.

END

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2023 @ 2:29 PM