Cat Farish.
Cat Farish.
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Penyanyi dan komposer Cat Farish yang kini sedang diulit bahagia bersama kekasihnya, Shikin Maembong menzahirkan kegembiraannya.

Cat atau pemilik nama penuh, Farish Ramli menjelaskan perasaan cinta yang hadir tanpa disangka-sangka itu mewarnai kehidupannya.

"Bila perasaan terbang (fly) muncul tanpa disedari. Bila kita dikejutkan dengan perasaan yang muncul tiba-tiba dalam sekelip mata.

"Betul orang cakap, cinta tidak perlu dicari kerana ia muncul dengan sendiri, tepat pada masanya tanpa kita sedari dan rancang," tulis Cat.

Menerusi video yang dikongsikan, rata-rata peminat meluahkan rasa gembira dan menitipkan ucapan tahniah buat Cat dan Shikin juga kakak kepada Emma Maembong.

Selepas viral video dimuat naik di Tik Tok, anggota kumpulan Ruffedge itu mengakui sedang berkawan dengan Shikin yang juga ibu tunggal kepada seorang cahaya mata.

Sementara itu, Cat mengakui pengalaman mereka berdua yang dua kali mengalami kegagalan dalam rumah tangga menyebabkan mereka mudah memahami satu sama lain.

"Memang tak dinafikan kegagalan rumah tangga sebelum ini banyak mengajar kami dan menyebabkan kami selesa bersama. Apa yang berlaku dalam rumah tangga saya sebelum ini adalah kesalahan saya. Saya berdoa agar perkahwinan kali ini adalah yang terbaik. Saya berjanji untuk membawa keluarga ini ke fasa bahagia dan baik-baik," katanya.

Cat sebelum ini berkahwin dengan Suriani Hassan, 37, pada November 2020 namun sah bercerai pada Januari lalu. Mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

Sebelum ini, Cat juga pernah berkahwin dengan Hartiny Ramli dan disahkan bercerai pada April 2016. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga anak iaitu Nia Karlyssa, 15, Eva Latheefa, 13, dan Qul Iskandar, 12.

Sementara itu, Shikin pula pernah mendirikan rumah tangga dengan Chef Riz yang juga anak kepada Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan pada 5 Disember 2014 namun bercerai pada Jun 2016.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Putri Arianna.

Shikin kemudiannya berkahwin buat kali kedua pada Mac 2020 namun rumah tangga itu hanya bertahan dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2023 @ 3:36 PM