Mas Idayu. FOTO Asyraf Hamzah
Mas Idayu. FOTO Asyraf Hamzah
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi dangdut terkenal, Mas Idayu, 50, mengumumkan tarikh 16 September depan adalah majlis pernikahannya bersama lelaki pilihan juga Penerbit Eksekutif TV3, Sufian Isa.

Difahamkan, majlis pernikahan dan resepsi Mas Idayu dan Sufian mendapat tajaan dianggarkan RM7 juta, merangkumi lokasi, katering, busana dan aksesori. Termasuk, ia juga bakal mencipta rekod dalam Buku Rekod Malaysia (MBOR).

Mas Idayu ditemui berkata dia sangat bersyukur apabila majlis perkahwinan kedua ini dimurahkan rezeki dengan mendapat pelbagai tajaan daripada banyak pihak sejak kisahnya terbuka hati bernikah semula tersebar.

"Saya memang tak sangka, ia 'tular' begini. Hingga saya dan bakal suami ada terfikir juga, siapa Mas Idayu dan Sufian Isa ini yang berita hubungan kami mampu jadi tular dan banyak pihak berminat nak beri tajaan.

"Apapun, saya sebenarnya tak fikirkan sangat nilai tajaan perkahwinan yang mencecah RM7 juta ini. Apa yang saya fikirkan adalah macam mana nak melalui kehidupan bersama dengan pasangan selepas sekian lama saya tidak melaluinya.

"Saya lebih fikirkan semoga dapat jalani kebahagiaan dalam perkahwinan kedua ini sampai akhir hayat. Apatah lagi, saya pun dah sekian lama tak berteman, serta tak percaya perkahwinan. Tapi, kali ini terbuka pintu hati pula dan itu yang saya fikirkan (berkahwin lagi)," katanya.

Ditanya juga mengenai pemilihan tarikh 16 September itu, Mas Idayu berkata Sufian yang memilihnya.

Jelasnya lagi, majlis pernikahan mereka mulanya dirancang Sufian pada Mei lalu, tetapi dirasakan terlalu awal.

"Jadi, tarikh 16 September nanti, semua orang cuti kerana Hari Malaysia dan mudah juga saya nak ingat. Sebabnya, saya ini susah nak ingat tarikh. Tapi, saya setuju bila Sufian bagi tarikh ini, sebab senang nak ingat saja," katanya.

Mas Idayu yang sudah 15 tahun hidup 'solo', memaklumkan majlis pernikahannya bakal diadakan di Magica Quill City, Kuala Lumpur, jam 9 pagi dan pada sebelah malam pula akan diadakan majlis resepsi dengan tema 'fairy tale'.

Terdahulu, Mas Idayu dan Sufian sudah saling mengenali sejak program Mentor 3 pada 2008 lalu dan baru menjalin hubungan serius pada tahun ini.

Sebelum ini Mas Idayu sudah 'diikat' Sufian dalam majlis menghantar tanda, di rumah keluarganya di Kota Tinggi, Johor, pada Mei lalu.

Mas Idayu yang popular dengan lagu Robek Hatiku dan Cinta 100 Persen pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Aman Graseka pada 1997 dan bercerai pada 2006.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan Nur Dayini Asyiqa yang kini berusia 25 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2022 @ 2:35 PM