CAT Farish bersama Shikin dan anak-anak mereka.
CAT Farish bersama Shikin dan anak-anak mereka.
Zaara Talita

Kuala Lumpur: Pelakon, Emma Maembong melihat kebahagiaan terpancar di wajah kakaknya, Shikin sejak menjalin hubungan cinta dengan bakal suami yang juga penyanyi dan pelakon, Cat Farish.

Sebagai adik, Emma bersyukur dan tumpang gembira dengan berita pernikahan kakaknya Cat yang juga anggota Ruffedge itu.

"Saya secara peribadi melihat Shikin selepas kenal Cat, wajahnya lebih ceria walaupun berdepan pelbagai ujian sebelum ini. Kali ini dia betul-betul gembira yang saya sendiri tak pernah lihat dia gembira sebegini.

"Saya doakan rasa gembira dan bahagia itu kekal dalam hubungan Shikin dan Cat selamanya. Cinta memang boleh membuatkan kita melakukan sesuatu di luar kawalan. Kalau Shikin selalu buat benda 'gila' bersama Cat maknanya mereka sangat bahagia," katanya.

Emma berkata, dia mendoakan itu adalah perkahwinan terakhir buat Shikin dan Cat. Ia juga perkahwinan ketiga buat kedua-duanya.

"Saya berdoa ini adalah yang terakhir untuk Shikin dan Cat. Gembira itu bukan saja terlihat pada Shikin dan Cat, tetapi pada anak-anak mereka juga.

"Lagi-lagi anak Shikin, dia anak tunggal, selalu cakap nak pergi rumah kakak (anak Cat). Saya yang dengar pun rasa sebak," katanya.

Shikin pernah mendirikan rumah tangga dengan Chef Riz yang juga anak kepada Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan pada 5 Disember 2014, namun bercerai pada Jun 2016.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Putri Arianna.

Shikin kemudiannya berkahwin buat kali kedua pada Mac 2020 namun rumah tangga itu hanya bertahan dua tahun.

Cat pula sebelum ini berkahwin dengan Suriani Hassan, 37, pada November 2020 namun bercerai pada Januari lalu. Mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

Sebelum ini, Cat berkahwin dengan Hartiny Ramli dan disahkan bercerai pada April 2016. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga anak iaitu Nia Karlyssa, 15, Eva Latheefa, 13, dan Qul Iskandar, 12.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2023 @ 5:21 PM